Harith Iskander Beraya Di Luar Negara Kerana Kerja Lawak | KAKI PALU

Harith Iskander Beraya Di Luar Negara Kerana Kerja Lawak

Share on Google Plus
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Harith Iskander terpaksa mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini kerana terikat dengan siri jelajah 'stand up comedy' menerusi Harith Iskander International Tour 2014.
Harith, 43, berkata, dia berada di New Delhi India pada 26 dan 27 Julai kerana mengadakan persembahan sebelum meneruskan penjelajahan ke Perth, Australia (14 Ogos), Hong Kong (22 dan 23 Ogos) dan Seoul, Korea Selatan (27 September).

"Biarpun sedih kerana terpaksa meninggalkan keluarga pada saat-saat kita ingin menyambut Hari Raya tetapi demi menghiburkan penonton di luar negara saya kena berkorban.

"Selepas tamat persembahan saya akan cuba balik ke Malaysia secepat mungkin untuk bersama keluarga," katanya kepada mStar Online.
Selain India, Hong Kong dan Korea Selatan, Harith Iskander International Tour terlebih dahulu diadakan di Singapura dan Jakarta, Indonesia yang mendapat sambutan hangat daripada peminat pelawak itu.

Dalam pada itu, Harith berkata, pengalaman selama 23 tahun dalam bidang lawak dan komedi digunakan dengan sebaik-baiknya dalam memikat hati penonton antarabangsa terhadap jenaka yang cuba disampaikan kepada mereka. 

Malah kata Harith, menerusi persembahan itu juga dia dapat memperkenal dan mempromosikan Malaysia di mata dunia dengan mesej santai dalam bentuk jenaka.

"Saya mahu orang luar tahu bahawa rakyat Malaysia ini ada humor yang cukup bagus dan akan cuba menarik perhatian mereka dengan cara tersendiri, Malaysian style!," katanya.

Sementara itu, Harith berkata, jelajahnya ke beberapa buah negara diharap dapat membuka mata masyarakat luar tentang Malaysia menerusi medium hiburan terutamanya komedi.


Share on Google Plus

About Admin

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment