9 Rakyat Malaysia Di Korea Utara Dibenarkan Pulang Ke Tanah Air, Kata Najib | KAKI PALU

9 Rakyat Malaysia Di Korea Utara Dibenarkan Pulang Ke Tanah Air, Kata Najib

Share on Google Plus



Sembilan rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara kini dibenarkan pulang ke tanah air, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata kesemua mereka berlepas dari Pyongyang pada pukul 7.45 malam ini waktu Malaysia dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pukul 5 pagi esok.

“Saya berterima kasih kepada pegawai kerajaan yang terbabit dengan perundingan itu, diketuai Kementerian Luar,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Najib berkata secara peribadi, beliau bimbang dengan perkara itu dan Malaysia telah berusaha gigih di belakang tabir untuk mencapai kejayaan seperti itu.

“Banyak halangan dapat diatasi bagi memastikan kepulangan rakyat Malaysia.

Keselamatan warganegara kita sentiasa menjadi keutamaan saya,” kata beliau.

Susulan perkembangan itu, perdana menteri berkata Malaysia kini membenarkan rakyat Korea Utara meninggalkan negara ini.

“Selain daripada itu, selepas bedah siasat selesai dijalankan terhadap mangsa dan menerima surat daripada keluarganya yang memohon supaya mayatnya dibawa kembali ke Korea Utara, koroner telah memberi kebenaran untuk melepaskan mayat itu,” kata beliau.

Najib berkata kerajaan amat percaya kepada prinsip keadilan dan kedaulatan.

“Siasatan polis kita terhadap jenayah berat di Malaysia akan diteruskan.

Saya sudah mengarahkan supaya mengambil langkah sewajarnya untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.

Najib berkata sebagai perdana menteri, beliau bersyukur melihat semua rakyat Malaysia bersatu dalam menangani krisis itu dengan penuh semangat Negaraku.

“Ia menunjukkan apa yang boleh dicapai untuk negara sekiranya kita semua bersatu untuk bekerjasama,” kata beliau.

Ketegangan Malaysia dan Korea Utara timbul berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin negara itu Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lepas.

Pergeseran diplomatik timbul apabila Duta Korea Utara Kang Chol membuat tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia mengenai cara ia mengendalikan kes itu, yang mengakibatkan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai persona non grata.

Beliau meninggalkan Kuala Lumpur pada 6 Mac.

Korea Utara bertindak balas dengan mengusir Duta Malaysia di Pyongyang.

Pada 7 Mac, Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Kuala Lumpur mengambil tindakan sama ke atas warganegara Korea Utara yang berada di negara ini. ― Bernama


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment