Drive Thru Air Ketum Ditemui Di Negara Kita | KAKI PALU

Drive Thru Air Ketum Ditemui Di Negara Kita

Share on Google Plus



Satu kegiatan penjualan air ketum yang menawarkan perkhidmatan pandu lalu kepada pembelinya berjaya dibong­kar Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri dalam serbuan di Alor Redis dan Bintong di sini semalam.

Modus operandi itu membo­leh­kan penagih membeli air ketum daripada atas motosikal yang dihulur melalui tingkap rumah dengan waktu kemuncak jual beli bermula pukul 5 petang sehingga tengah malam setiap hari.

Harga segelas atau sebungkus air ketum pula dijual antara RM2 hingga RM3 dengan pembelinya bukan sahaja datang dari kawasan ini tetapi Arau dan Kuala Perlis.

Dalam Op Sarang dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) pada pukul 6 petang itu, seramai tujuh lelaki dan seorang wanita berusia 26 hingga 48 tahun ditahan.

Menurut Pengarah AADK ne­geri, Azizah Ahmad, hasil saringan ujian air kencing mendapati kesemua yang ditahan positif methamphetamine.

Katanya, operasi itu diketuai oleh Penolong Pegawai AADK negeri, Mohd. Hafiz Suhaili de­ngan dibantu 21 anggota AADK dan Aksem negeri bertujuan membersihkan sarang penagihan ketum di kawasan terbabit.

“Kawasan yang dipilih adalah berdasarkan risikan. Kita juga dapati penagih ketum ini turut menagih dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azizah sehubungan itu menasihatkan masyarakat membantu menyalurkan maklumat kepada agensi penguat kuasa untuk membanteras kegiatan itu.

“Ini kerana selepas AADK menjalankan operasi, sarang-sarang penagihan ketum ini kembali aktif,” katanya.

Tambah beliau, kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat AADK untuk tindakan selanjutnya di bawah Akta Penagih Dadah (Ra­watan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998.


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment