Musang King Luruh Di Raub | KAKI PALU

Musang King Luruh Di Raub

Share on Google Plus


Mereka yang berminat untuk menikmati durian Musang King boleh datang ke Raub kerana ia sudah mulai luruh sekarang.

Musang King akan berbuah selama lima bulan hingga Ogos ini di Raub, kata Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Hasan Jusoh.

Beliau berkata, musim gugur Musang King telah bermula awal bulan ini manakala durian kampung dijangka akan mulai luruh tidak lama lagi.

"Minggu lalu harga ladang Musang King ialah RM38 sekilogram, menurun daripada RM50 sekilogram sebelumnya memandangkan bekalan buah yang semakin meningkat.

"Bagaimanapun harga runcitnya ialah sekitar RM50 hingga RM60 sekilogram bergantung kepada keadaan seperti keadaan buah, tempoh buah disimpan dan kawasan jualan," katanya.

Hasan berkata, pengusaha Musang King lebih selesa menjual sendiri buah itu dan akan merujuk kepada FAMA jika berhasrat untuk mengeksport ke negara luar seperti Singapura dan Brunei yang memberi sambutan luar biasa kepada buah itu.

Beliau menambah selain buah segar, turut mendapat permintaan ialah isi durian sejuk beku yang boleh bertahan sehingga enam bulan dan tempoyak yang diperbuat daripada isi Musang King.

"Tempoyak yang diperbuat daripada isi Musang King mendapat permintaan tinggi kerana rasanya yang lebih sedap. Pada kebiasaannya dijual pada harga RM60 sekilogram dan dijual dalam dua paket menjadikan harga jualannya RM120," kata Hasan.

Beliau berkata, musim luruh Musang King di Raub mendahului durian di kawasan lain kerana faktor geografinya yang berbukit-bukau dan kedudukannya di banjaran Titiwangsa beserta kesesuaian tanah.

Beliau menasihatkan pembeli untuk memeriksa durian yang dibeli dengan sewajarnya bagi memastikan harga yang dibayar adalah berpadanan dengan buah yang diperoleh.

"Musang King boleh dibezakan dengan tapak durinya yang lebih lebar dan tajam berbanding durian lain dan mempunyai tanda tersendiri iaitu tanda seperti tapak sulaiman di bawah buahnya," katanya.

- BERNAMA



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment