Tanam Jagung Besar Besaran Di Sarawak | KAKI PALU

Tanam Jagung Besar Besaran Di Sarawak

Share on Google Plus



Sarawak merancang penanaman jagung secara besar-besaran di negeri ini untuk dijadikan sebagai bahan mentah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embass.


Beliau berkata ini akan membantu negara menjimatkan pertukaran asing bagi import bahan mentah untuk industri ternakan.

"Malaysia mengimport jagung bijirin bernilai kira-kira RM3 bilion setahun termasuk RM263 juta setahun oleh Sarawak.

"Sarawak berpotensi melaksanakan usaha ini kerana ia masih mempunyai banyak tanah daripada plot pekebun kecil hinggalah kepada tanah negeri dan tanah hak adat Bumiputera," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Penyelidikan Agrikultur Semengok, di sini, hari ini.

Potensinya diperakui oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, kata Uggah, sambil menambah penanaman jagung akan menjadi satu program nasional yang disokong oleh kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, oleh kerana jagung akan menjadi tanaman baharu bagi Sarawak, eksperimen perlu dibuat terlebih dahulu bagi mengenal pasti benih hibrid terbaik bagi jenis tanah dan cuaca di negeri ini.

"Saya telah mengarahkan Pusat Penyelidikan Agrikultur Semengok untuk memulakan eksperimen di beberapa hektar tanah.

"Kemudiannya kami akan beralih ke sawah padi semasa di luar musim menanam untuk mencuba beberapa plot perintis," katanya.

Beliau berkata eksperimen seumpama itu berjaya dilakukan di Kedah, Terengganu dan Johor.

"Ini merupakan cabaran menarik bagi kami. Sekiranya usaha itu berdaya maju, kami boleh membantu negara mengurangkan dengan banyak pertukaran asing selain mengurangkan kos pengeluaran industri ternakan kita bagi menjadikannya lebih kompetitif di rantau ini," katanya.

Uggah berkata beliau akan berbincang dengan Ahmad Shabery minggu depan untuk menyerahkan cadangan dan rancangan negeri itu mengenai penanaman jagung.

-- BERNAMA


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment