Gabenor BNM Terkejut Kerugian Cecah RM9 Bilion, Kata Bekas Pembantu Khas | KAKI PALU

Gabenor BNM Terkejut Kerugian Cecah RM9 Bilion, Kata Bekas Pembantu Khas

Share on Google Plus




Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian matawang asing Bank Negara Malaysia (BNM) lebih 2 dekad lalu hari ini menyaksikan seorang bekas pembantu khas gabenor bank pusat itu mengakui terdapat “kerugian sangat besar” berlaku.


Liew Siew Kuan, bekas pembantu khas kepada Tan Sri Jaafar Hussein yang bersara sebagai gabenor BNM pada 1994, berkata beliau diminta memeriksa akaun bank pusat itu.


“Saya tidak ingat tahun bila tetapi Jaafar Hussein maklumkan pada saya supaya memeriksa akaun BNM.


“Selepas semakan dibuat, terdapat kerugian sangat besar dialami BNM melibatkan urusniaga forex dan selepas itu, Jaafar mengarahkan saya melakukan semakan semua akaun,” katanya ketika memberi keterangan prosiding RCI di Istana Kehakiman di sini hari ini.


Liew, yang merupakan saksi ke-11 siasatan RCI itu, berkata Jaafar terkejut setelah diberitahu BNM mengalami kerugian mencecah RM9 bilion.


Jaafar meninggal dunia pada 1998.


Menurut Liew, Jaafar memintanya memaklumkan hal berkenaan kepada ketua Audit negara ketika itu, Tan Sri Ishak Tadin supaya reputasi negara dapat diselamatkan.


“Saya jumpa Ishak dan beritahu beliau, untuk selamatkan reputasi Malaysia, selamatkan negara,” katanya, sambil menambah kerajaan ketika itu tidak mempercayai kerugian sebanyak itu boleh berlaku.


Semalam, bekas auditor di Pejabat Ketua Audit Negara, P. Kanason Pothinker memberitahu wujud “pihak atasan” mengarahkannnya tidak campur tangan susulan kerugian yang dialami mengenai kerugian Bank Negara Malaysia (BNM).


Katanya, beliau turut dimaklumkan seorang pegawai dari Pejabat Peguam Negara yang urusniaga forex itu dibuat tidak mengikut proses dan tidak mengikut syarat Akta Bank Negara 1958.


Prosiding hari ini merupakan sesi keempat RCI bagi menyiasat kes kerugian BNM melalui kegiatan perdagangan mata wang asing sekitar 1990-an.


Kerugian itu berlaku semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, sementara Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan menteri kewangan ketika itu.


Siasatan RCI itu dipengerusikan bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia K Pushpanathan; dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail.



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment