Liberal Dan Merdeka | KAKI PALU

Liberal Dan Merdeka

Share on Google Plus




Sepertimana pada setiap tahun, tarikh keramat 31 Ogos bakal menjelma semula. 60 tahun dahulu pada tanggal 31 bulan Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah II telah melaungkan kalimah keramat “Merdeka” sebanyak tujuh kali dalam satu upacara bersejarah di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang menyaksikan Pulau Pinang dan Melaka mencapai kemerdekaan daripada penjajahan dan kolonisasi British, manakala negeri-negeri lain bebas mentadbir tanpa perlu khidmat ‘nasihat’ dari Residen British, sehingga membawa kepada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan selanjutnya sempurna sebagai Malaysia pada 16 September 1963.

Seterusnya, Malaysia ditadbir dan diperintah menggunakan sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan dimana Raja-Raja Melayu mewakilkan kuasa mereka kepada Perdana Menteri dan jentera pentadbirannya untuk mengemudi Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budayanya. Dalam mentadbir sebuah negara yang baru dibentuk dan bersifat majmuk, pelbagai cabaran dihadapi oleh Tunku Abdul Rahman dan jentera pentadbirannya. Beberapa peristiwa yang menguji ikatan perpaduan antara kaum tercetus yang kemuncaknya mengakibatkan kepada peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Kemuncaknya, darurat tercetus, fungsi Parlimen digantung dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan untuk menjalankan pentadbiran negara. Melalui MAGERAN, Majlis Perundingan Negara telah ditubuhkan dan bertanggungjawab menjadi pemikir dalam merangka perpaduan negara.

Hasilnya, lahir satu ideologi kebangsaan iaitu Rukun Negara yang digubal sebagai falsafah negara dan pendekatan baru ke arah mewujudkan sebuah negara bangsa yang stabil.

Rukun Negara telah diisytiharkan secara rasmi pada 31 Ogos 1970 oleh YDP Agong dan digunakan sehingga kini sebagai alat pengikat perpaduan antara kaum di Malaysia.

Rukun Negara terdiri daripada dua komponen iaitu sebuah perisytiharan dan ikrar Rukun Negara yang mempunyai lima prinsip.

Ia digubal untuk bersifat umum berdasarkan acuan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama dengan tujuan memperkukuhkan perpaduan antara kaum.

Cita-cita penting yang dinyatakan dalam perisytiharan Rukun Negara adalah perpaduan dalam kalangan seluruh masyarakatnya, cara hidup demokratik, masyarakat yang adil, liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya dan masyarakat progresif.

Artikel ini tertarik dengan salah satu cita-cita dalam perisytiharan Rukun Negara iaitu “Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak”.

Perlulah diingat bahawa perisytiharan Rukun Negara dan Rukun Negara itu sendiri digubal sebegitu rupa bertujuan menjaga perpaduan antara kaum dalam negara ini setelah masyarakat majmuk negara ini diancam perpecahan.

Oleh yang demikian ayat-ayat dan perkataan-perkataan yang dipilih adalah menjurus kepada matlamat perpaduan dan menjaga kepentingan semua pihak dalam negara.

Pelbagai pihak memberi tafsiran masing-masing kepada apa yang dimaksudkan dengan perkataan “liberal” dalam ayat di atas. Ada pihak menyatakan “liberal” bermaksud “bebas” manakala pihak lain menafsirnya sebagai “terbuka” atau “luas”.

Menurut Kamus Oxford dan Merriam-Webster, perkataan “liberal” membawa maksud antaranya keterbukaan kepada perkara baru, kebebasan, kelonggaran dan meluaskan pandangan atau pemahaman.

Ia berasal daripada perkataan Latin iaitu “liber” bermaksud bebas atau tanpa kekangan. Maksud ini adalah berkait rapat dengan perkembangan falsafah Barat mengenai hak asasi manusia. Sedangkan maksud perkataan “liberal” ini mestilah tertakluk kepada konteks negara di mana ia digunakan.

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Islam adalah Agama bagi Persekutuan dan Perkara 4(1) menyatakan Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara.

Ini bermaksud tafsiran bagi perkataan “liberal” dalam perisytiharan Rukun Negara mestilah tunduk kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Liberal” dalam hal ini bermaksud meraikan keterbukaan kepada kemajmukan tradisi-tradisi kebudayaan dan kepercayaan pelbagai kaum dalam Malaysia sepertimana yang dicetuskan oleh Perdana Menteri pertama Malaysia iaitu Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

Bukannya keterbukaan kepada liberalisme, sekularisme, pluralisme, LGBT, ateisme, murtad, radikal evangelisme, sosialisme, komunisme dan pelbagai lagi fahaman asing serta aneh bagi negara ini sepertimana yang diperjuangkan oleh sesetengah pihak.

Amat malang sekali apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba memutarbelitkan maksud-maksud yang terkandung dalam perisytiharan Rukun Negara dan Rukun Negara itu sendiri mengikut agenda peribadi mereka. Ia bukan sahaja membawa mudarat kepada rakyat negara ini yang berbilang bangsa malah adalah suatu perbuatan mengkhianati negara ini sendiri.

Oleh yang demikian, kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan perpaduan wajib menolak sebarang agenda asing yang cuba dibawa masuk untuk menjajah pemikiran dan merosakkan keharmonian negara kita yang tercinta. Tema sambutan Hari Kemerdekaan bagi tahun 2017 adalah “Negaraku Sehati Sejiwa”.

Tema ini menepati usaha kerajaan yang mahu memberi penekanan betapa pentingnya rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama saling memahami dan menghormati serta bersatu padu menetukan masa depan negara agar lebih gemilang, stabil dan aman damai. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang Ke-60.



Rujukan:

http://www.perdana.org.my/spot light2/item/rukun-negara-the- national-principle-of-malaysia
http://pelajarpolitekniknilai. blogspot.my/2014/09/rukun-nega ra-malaysia.html
http://repo.uum.edu.my/3186/1/ S22.pdf https://www.jpnin.gov.my/sites /default/files/BUKU%20PANDUAN% 20KRN.pdf
https://www.merriam-webster.co m/dictionary/liberal https://en.oxforddictionaries. com/definition/liberal
https://ms.wikipedia.org/wiki/ Liberalisme https://www.mysumber.com/hari- kebangsaan.html
http://www.asiaone.com/asia/tu rn-malaysias-guiding-principle http://www.sinarharian.com.my/ kolumnis/xifu-naser/apakah-mak na-liberal-sebenarnya-1.725983


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment