Mengaku Tidak Salah Guna Harta Kerajaan Negeri | KAKI PALU

Mengaku Tidak Salah Guna Harta Kerajaan Negeri

Share on Google Plus



Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyalahgunakan harta kerajaan negeri bagi meluluskan pembayaran baucar dengan nilai keseluruhan RM11,108 dua tahun lalu.

Noor Faezah Mohd, 34, yang ketika kejadian bertugas sebagai Penolong Akauntan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, meminta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim S.Indra Nehru.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyalahgunakan Peruntukan Kecil Kerajaan Negeri Perak Belanjawan Bagi Tahun 2015 dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM3,240 kepada Syarikat Sricomp Solutions tanpa pengetahuan ketua jabatan iaitu Penolong Pengarah Kanan JKR Cawangan Mekanikal Perak, Ahmad Fikri Mohamed Omar pada 26 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan baucar bayaran bernilai RM3,868 dan RM4,000 ke akaun syarikat sama, masing-masing pada 30 Jun dan 8 Julai 2015.

Tertuduh yang kini berkhidmat sebagai Penolong Akauntan di Hospital Taiping didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di Jabatan Kerja Raya Cawangan Mekanikal Perak, Lorong Lahad, di sini.

Noor Faezah didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 23 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment