PAS Mungkin Bertanding Lebih 80 Kerusi Parlimen, 230 Kerusi DUN | KAKI PALU

PAS Mungkin Bertanding Lebih 80 Kerusi Parlimen, 230 Kerusi DUN

Share on Google Plus




Pas mungkin bertanding lebih 80 kerusi Parlimen dan lebih 230 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini.

Keputusan dibuat setelah Pas melihat gelombang kebangkitan rakyat yang hadir pada Himpunan Fastaqim 2.0 semalam, sebagai harapan menggunung supaya parti itu dapat memerintah Malaysia.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kalau sebelum ini Pas menjangkakan bertanding kurang 80 kerusi Parlimen, tetapi setelah melihat ratusan ribu rakyat hadir, beliau memutuskan untuk menambah jumlah kerusi dan calon.

Beliau bagaimanapun, tidak menyatakan secara spesifik jumlah kerusi Parlimen dan DUN secara tetap, tetapi memberi jaminan akan bertambah.

“Kita buat keputusan selepas melihat dan mendengar pengharapan rakyat. Mereka secara jelas mahu Pas menang dan mengubah pemerintahan.

“Oleh itu, kita tidak mahu hampakan harapan mereka, kita akan tambah jumlah kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan pada PRU 14 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ceramah Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal di sini, tengah malam tadi.

Abdul Hadi antara lima pemimpin yang berucap di hadapan kira-kira 200,000 ahli dan penyokong Pas.

Pada majlis itu, beliau bersama Presiden Parti Ikatan Rakyat Malaysia (Ikatan) Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir melancarkan Gagasan Sejahtera (GS) parti naungan kepada Pas, Berjasa dan Ikatan.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, masa depan Pas kini semakin cerah dengan sambutan di luar jangkaan rakyat terhadap parti itu selepas mengalami proses pembersihan di peringkat dalaman.

“Kebanyakan yang hadir ini adalah anak muda. Ini membuktikan, Pas bukan parti untuk orang dewasa, tetapi turut diminati golongan remaja.

“Mereka ini akan bersama kita sebagai pewaris,” katanya sambil menjelaskan Pas berdepan dengan hasad dengki musuh politiknya yang mendesak supaya perkataan Islam dihapuskan dari nama Pas.

Ujarnya, Pas tidak lemah semangat dengan desakan dan hasutan itu, sebaliknya terus beristiqamah dan menyerahkan kepada Allah.

Kata beliau, soal menggugurkan perkataan Islam dari parti itu bukan perkara baharu.

“Sebelum ini pun ada yang desak Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengharamkan Parti Islam Se-Malaysia sekiranya tidak menggugurkan perkataan Islam.

“Bahkan, Majlis Raja-Raja pun pernah mengarahkan Majlis fatwa Kebangsaan supaya membuat kajian dengan nama Islam pada pertubuhan parti politik.

“Alhamdulillah, kita dimaklumkan Pas boleh menggunakan perkataan Islam dan ia bukan suatu kesalahan. Kemenangan ini memarakkan lagi hasad dengki pihak berkenaan terhadap kita,” kata beliau.

Pada majlis itu, Abdul Hadi menerima borang penyertaan keahlian baharu dari dua bekas pegawai kanan kerajaan.

Mereka ialah bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaafar dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Abdul Rahim Che Daud.



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment