Dakwaan Kerajaan Henti Subsidi Tak Betul, RM86 Bilion Disalurkan Pada Rakyat | KAKI PALU

Dakwaan Kerajaan Henti Subsidi Tak Betul, RM86 Bilion Disalurkan Pada Rakyat

Share on Google Plus



Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dakwaan bahawa kerajaan tidak memberikan bantuan subsidi kepada rakyat terutama terhadap golongan sederhana dan miskin adalah tidak betul, sebaliknya kerajaan telah pun menyalurkan bantuan subsidi itu terhadap rakyat melalui pelbagai skim yang sama ada ia berbentuk secara langsung atau tidak.

Jelasnya, rakyat dapat melihat perkara ini melalui bajet yang dibentangkan oleh kerajaan tiap-tiap tahun, termasuk bajet 2018 baru-baru ini yang jelas merupakan bajet rakyat, kerana ia melibatkan pelbagai peringkat lapisan masyarakat di negara ini.

“Untuk pengetahuan tuan-tuan semua, subsidi secara langsung yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat adalah sebanyak RM26 bilion. Ia diberikan melalui pelbagai skim subsidi.

“Manakala subsidi secara tidak langsung yang diberikan oleh kerajaan pula berjumlah RM60 bilion.

“Sebagai contoh, subsidi tidak secara langsung ini diberikan melalui bantuan persekolahan. Hari ini, mana-mana anak-anak tuan-tuan yang masuk sekolah kerajaan baik sekolah rendah dan sekolah menengah, kerajaan sebenarnya telah memberikan setiap seorang daripada pelajar ini sebanyak RM700 sebulan.”

Namun, katanya ramai dikalangan rakyat yang tidak perasan kerana subsidi terbabit tidak diberi secara langsung sepertimana BR1M.

“Bajet kerajaan telah memperuntukkan lebih kurang 45 bilion sebagai bantuan kepada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di mana jika bajet itu dibahagikan kepada 5 juta pelajar yang ada hari ini, maka masing-masing sebenarnya mendapat RM700 sebulan. Buka sekolah pun kerajaan bagi seorang pelajar RM100 lagi.

“Begitu juga dengan pelajar IPTA yang berada di 20 buah universiti kerajaan. Kerajaan telah memperuntukkan perbelajaan sebanyak 14 bilion, dan jika dibahagikan kepada lebih kurang 670 ribu pelajar IPTA yang ada hari ini, ini bermakna setiap pelajar dapat RM1700 sebulan, tapi semua orang tak nampak perkara ini.

“Mungkin kalau kerajaan bagi secara tunai kepada sebuah keluarga, barulah kita perasan bantuan kerajaan itu. Tapi kerajaan tak mahu secara terus kerana bimbang, wang itu tidak digunakan untuk persekolahan anak-anak mereka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program Agenda Pemerkasaan Ummah bertempat di Putra World Trade Center (PWTC) semalam.

Beliau juga tidak menafikan bahawa ada beberapa subsidi yang dipotong oleh kerajaan, namun perkara ini terpaksa dilakukan apabila krisis harga minyak dunia berlaku yang menyebabkan kerajaan kehilangan RM36 bilion pendapatan negara.

“Baru-baru ini ada orang yang berjumpa dan bertanyakan saya mengapa kerajaan memotong subsidi itu dan ini. Saya kata padanya, kerajaan terpaksa memotong beberapa subsidi kerana jika kerajaan tidak berbuat demikian ekonomi negara akan tidak stabil dan terjejas, ekoran krisis harga minyak dunia yang berlaku itu.

“Jadi apa yang kerajaan buat ialah, subsidi tersebut akan diberikan menurut kumpulan sasar agar ia tidak turut dinikmati oleh golongan yang tidak memerlukan lagi bantuan kerajaan.

“Dakwaan kerajaan tidak bantu rakyat ini sebenarnya adalah cakap-cakap golongan yang tidak layak mendapat bantuan daripada kerajaan. Orang seperti inilah yang cuba menghasut rakyat kononnya kerajaan tak tolong mereka, sedangkan mereka sendiri sudah mampu dan tidak layak dibantu.”

Bagaimanapun, bidasnya apa yang perlu ditekankan bahawa usahlah mengharapkan sepenuhnya apa yang diinginkan dalam hidup peribadi disediakan serba serbinya oleh kerajaan.

“Kerajaan ada terlalu banyak benda yang perlu dibelanjakan untuk kebaikan dan manfaat rakyat dan negara secara keseluruhannya,” ujarnya lagi.-MediaUMNO


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment