DBP Berhak Terjemah Bible Dalam BM – Concerned Lawyers for Justice (CLJ) | KAKI PALU

DBP Berhak Terjemah Bible Dalam BM – Concerned Lawyers for Justice (CLJ)

Share on Google Plus



Cadangan penerbitan terjemahan rasmi Bible dan pembetulan istilah-istilah tertentu dalam bahasa Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak sepatutnya dianggap sebagai mencampuri urusan agama Kristian.


Concerned Lawyers for Justice (CLJ) berkata DBP merupakan institusi awam yang diberi kuasa dan tugas statutori sebagai penjaga Bahasa Kebangsaan di mana DBP bertanggungjawab dalam menguraikan kontroversi ini walaupun peranannya terhad untuk mengambil alih tugas menterjemah Bible ke dalam Bahasa Melayu.


Menurut CLJ, dalam usaha untuk membenarkan penggunaan kalimah “Allah”, masyarakat Kristian berpendapat bahawa perkataan itu adalah terjemahan yang benar dari perkataan “Tuhan” dalam Bahasa Melayu, dan kononnya ia telah digunakan dalam penerbitan orang Kristian sejak abad ke-17.


“Oleh itu, DBP merupakan pihak yang berkuasa untuk mengadili sama ada tuntutan mereka itu benar atau tidak, dan sama ada penggunaan kalimah ‘Allah’ adalah tepat, semantik dan linguistik. Selaras dengan Seksyen 6 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959, DBP merupakan penyelaras tunggal yang berkuasa dalam menyusun, merancang dan menyeragamkan istilah dalam Bahasa Kebangsaan” kata CLJ.


Justeru, masyarakat Kristian di Malaysia perlu bekerjasama dengan DBP dan mengambil tindakan yang lebih serius untuk melakukan perkara yang sepatutnya agar keadilan diberi bukan hanya kepada Bahasa Melayu, tetapi juga kitab suci mereka sendiri.


“Tidak perlu ada rasa malu untuk mengakui kesilapan terjemahan dalam istilah-istilah tertentu dan rujuk kepada pihak berkuasa dalam menentukan istilah yang tepat untuk digunakan,” katanya lagi.


Sebelum ini, peguam yang mewakili Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Mohamed Haniff Khatri Abdullah telah mencadangkan agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan terjemahan rasmi Bible dalam Bahasa Melayu.


Namun, cadangan beliau mendapat bantahan keras oleh Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) . Sebelum ini, CFM lantang menentang usaha pemerkasaan mahkamah syariah dengan dakwaan bahawa pemerkasaan ini akan memberi kesan kepada non-Muslim di negara ini.


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment