Kenaikan Harga Minyak Susulan Konflik Di Asia Barat | KAKI PALU

Kenaikan Harga Minyak Susulan Konflik Di Asia Barat

Share on Google Plus


Harga minyak di pasaran tempatan akan diturunkan apabila harga bahan api itu di pasaran dunia stabil, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, kenaikan harga minyak di pasaran sekarang berikutan pergolakan di Asia Barat sehingga menjadikan harga minyak dunia meningkat.

"InsyaAllah kita akan turunkan harga dan kita tidak simpan, ikut pasaran dunia kalau minyak naik kita akan naik," katanya kepada pemberita selepas program Kenduri Sekampung Warga Felda di Felda Ijok, Sabtu.

Hamzah yang juga Anggota Parlimen Larut berkata, kenaikan harga runcit petrol sejak dua minggu lalu yang menjadikan harga semasa RON95 sebanyak RM2.38 seliter misalnya, masih terendah dalam kalangan negara Asean dan meletakkan Malaysia di kedudukan ke-20 negara yang menjual minyak pada harga rendah.

"Apa yang kita berikan (harga minyak) adalah tidak membebankan rakyat dan semua yang berlaku itu mengikut pasaran dunia dan kerajaan turut mengambil pelbagai usaha termasuk pemberian subsidi.

"Mekanisme harga minyak sekarang masih rendah sejak kerajaan melaksanakan penetapan harga bahan bakar itu secara mingguan sejak Mac lepas," katanya.

Hamzah berkata, beliau akan membawa isu kenaikan harga minyak ke mesyuarat Kabinet bagi mencari jalan terbaik untuk meringankan beban rakyat.

Selain itu, beliau berkata, prestasi ekonomi negara yang kukuh pada kadar 6.2 peratus pada suku ketiga tahun ini, menunjukkan perlunya kerjasama semua kementerian dalam merancakkan ekonomi domestik.

"Ini membuktikan ekonomi domestik menjadi salah satu rangsangan kepada pertumbuhan ekonomi negara terutama dalam sektor pembinaan," katanya. - Bernama



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment