Mnangagwa Bakal Ganti Mugabe | KAKI PALU

Mnangagwa Bakal Ganti Mugabe

Share on Google Plus



Ribuan penduduk Zimbabwe berkumpul di jalan-jalan utama di sekitar bandar ini bagi meraikan peletakan jawatan Presiden mereka, Robert Mugabe, semalam.

Selain bersorak, ada dalam kalangan mereka tanpa segan silu menyanyi dan menari selepas mendapat tahu perkhabaran itu.

“Ngwena ndizvo (Mnangagwa adalah calon utama),” tertulis pada poster seorang penduduk tempatan merujuk kepada bekas Timbalan Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa yang yang disebut-sebut sebagai calon pengganti Mugabe ketika ini.

Seorang lagi penduduk, Tinashe Chakanetsa, 18, berkata: “ Saya gembira dengan keputusan itu (peletakan jawatan Mugabe). Tempoh selama 37 tahun bukanlah satu gurauan dan saya berharap Zimbabwe akan ditadbir oleh pemimpin baharu selepas ini.”

Semalam, Mugabe yang memegang tampuk pemerintahan Zimbabwe sebagai Presiden selama 37 tahun akhirnya meletakkan jawatan selepas menerima desakan daripada pelbagai pihak.

Surat peletakan jawatan pemimpin itu diserahkan kepada Speaker Parlimen, Jacob Mudenda ketika partinya, Zanu-PF sedang dalam proses untuk memecat pemimpin berusia 93 tahun itu termasuk selaku ketua parti berkenaan.

Turut dipecat ialah isterinya, Grace yang merupakan pe­mimpin utama wanita dalam parti itu.

Dalam suratnya, Mugabe dipetik sebagai berkata, keputusan untuk berundur sebagai Presiden itu dibuatnya secara ‘sukarela’.

“Saya mengambil berat kebajikan penduduk Zimbabwe dan menjadi impian saya untuk melihat peralihan kuasa ini berlangsung dalam suasana aman, lancar dan tiada unsur-unsur keganasan,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Mnangagwa dilaporkan kembali ke Zimbabwe hari ini selepas lebih dua minggu dipecat daripada jawatannya bagi memberi laluan kepada Grace untuk memegang jawatan berkenaan.

Menurut jurucakap Zanu-PF, Mnangagwa dijangka mengangkat sumpah selaku Presiden Zimbabwe baharu Jumaat ini. – AFP/BERNAMA/AGENSI



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment