MTUC: Kaji Semula Cadangan Cuti Paterniti 30 Hari | KAKI PALU

MTUC: Kaji Semula Cadangan Cuti Paterniti 30 Hari

Share on Google Plus



Cadangan agar golongan bapa diberi cuti paterniti 30 hari perlu dikaji dan dipertimbangkan dari pelbagai sudut, demikian menurut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Presidennya Abdul Halim Mansor berkata kaji selidik perlu dibuat pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mengusulkan perkara itu dengan Kementerian Sumber Manusia yang mempunyai pegawai, pakar dalam faedah-faedah dan akta berhubung perkara berkenaan.

“Melihat dari sudut untuk bersama menjaga keperluan menjaga anak yang baharu lahir, pendapat dan alasan itu kurang kuat dan fakta itu terlalu lemah,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Abdul Halim berkata cadangan cuti 30 hari itu juga akan menjadi kos yang mesti ditanggung oleh syarikat dan pihak majikan harus dirujuk sebelum cadangan itu boleh dilaksanakan.

“Perlindungan wanita bersalin ialah satu perlindungan yang memerlukan wanita untuk mengandung sehingga 22 minggu untuk layak. Cuti untuk suami ini adakah perlindungan atau faedah?,” soalnya.

Abdul Halim berkata sekiranya cadangan itu bukan perlindungan, ia perlu dibawa kepada Kementerian Sumber Manusia untuk dibawa kepada Majlis Buruh Kebangsaan untuk dibahaskan bersama pihak majikan sebelum menjadi undang-undang.

“MTUC tidak mahu cadangan menteri menjadi material politik. Perlindungan yang tiada sekarang hendak diperjuangkan mesti berhati-hati,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun dilapor berkata kementerian akan mengusulkan kepada kerajaan agar cuti paterniti dinaikkan kepada 30 hari berbanding tujuh hari sekarang.—Bernama


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment