Wasatiyyah Bukan Bermaksud Liberal – Dato’ Dr Asyraf Wajdi | KAKI PALU

Wasatiyyah Bukan Bermaksud Liberal – Dato’ Dr Asyraf Wajdi

Share on Google Plus


Wasatiyyah bukan bermaksud liberal mahupun moderat tetapi bermakna kecemerlangan, keadilan dan keseimbangan, demikian menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Parlimen semalam ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera dari parti DAP, Zairil Khir Johari.


“Maksud wasatiyyah bukan bermaksud liberal. Maksud wasatiyyah bukan bermaksud moderate tanpa hala tuju. Tetapi maksud wasatiyyah yang dianjurkan ataupun disebut dalam al-Qur’an adalah kecemerlangan, keadilan dan juga keseimbangan,” jelas Dato’ Dr Asyraf Wajdi.


Pelaksanaan permohonan tauliah oleh penceramah dari dalam dan luar negara yang mahu menyampaikan ceramah berkaitan agama Islam tidak bertentangan dengan prinsip wasatiyyah, jelas beliau lagi.


Ini kerana konsep pemberian tauliah adalah bagi menjaga kestabilan dan keamanan masyarakat daripada sebarang unsur-unsur dan ajaran-ajaran yang menyeleweng, tambahnya lagi.


Dalam sesi Dewan Rakyat semalam, Zairil Khir Johari membangkitkan kebimbangan mengenai pelaksanaan undang-undang berkaitan pemberian tauliah mengajar agama Islam yang mungkin boleh disalah guna, susulan penahanan wartawan dan penulis dari Turki, Mustafa Akyol, dan disifatkan beliau sebagai bertentangan dengan prinsip wasatiyyah.


Kata Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki, “Saya tidak nampak apa-apa bertentangan dengan prinsip wasatiyyah kerana jangan kita menggunakan prinsip wasatiyyah untuk kita menjustifikasikan tindakan-tindakan yang boleh mengganggu-gugat kestabilan negara kita.”


Menurut Dato’ Dr Asyraf lagi, bagi memastikan konsep keadilan sentiasa berada dalam negara, maka rakyat dan kerajaan perlu memastikan keamanan dan kesejahteraan tidak diganggu-gugat.


“Salah satu peruntukan undang-undang yang diluluskan di dalam dewan yang mulia ini adalah untuk memastikan apa sahaja unsur-unsur dan ajaran-ajaran, ideologi-ideologi asing yang menyeleweng, yang boleh mengganggu-gugat struktur asas negara kita iaitu yang berpandukan kepada Islam, yang akidahnya Ahli Sunnah Wal Jamaah, prinsipnya wasatiyyah, maqasid syariah sebagai tunjang tidak diganggu-gugat. Sebab itulah kita telah sama-sama meluluskan undang-undang ini dan akta-akta ini.”


“Tauliah ini kita berikan kepada mereka yang cuba untuk mengajar apa sahaja berkaitan dengan agama Islam yang kita kena pastikan bahawa ia sentiasa terikat kepada kerangka Islam yang diamalkan dalam kerangka Malaysia supaya tidak boleh mencetuskan sebarang bentuk ketidaktenteraman dan boleh menjejaskan keharmonian negara,” tegas beliau lagi.


Polemik ini dicetuskan oleh pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan penahanan penceramah jemputan Islamic Renaissance Front (IRF) yang merupakan penulis dan wartawan dari Turki, Mustafa Akyol oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kerana menyampaikan syarahan agama tanpa sebarang tauliah.



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment