Okey Ke Boikot Starbucks Sebab Pro-Israel? | KAKI PALU

Okey Ke Boikot Starbucks Sebab Pro-Israel?

Share on Google Plus


ALASAN untuk boikot Starbucks hanya kerana jenama kafe kopi popular antarabangsa itu dimiliki oleh seorang Yahudi dan pernah menerima anugerah daripada Israel adalah alasan yang lemah.

Demikian tegas Aqsa Syarif, sebuah institusi di bawah kendalian Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) yang dipetik portal tempatan Menara.Mysemalam sebagai mengulas kempen pulau produk pro-Israel di negara ini.

Meskipun demikian, badan yang terlibat aktif dalam misi bantuan kemanusiaan ke Palestin itu bersikap terbuka dan mengalu-alukan maklumat tambahan yang boleh dikaji bagi menyemak semula kedudukannya terhadap Starbucks.

Dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya, Aqsa Syarif berkata, “Untuk makluman semua, kami tidak pernah menyenaraikan Starbucks antara senarai boikot kerana tiada bukti kuat melibatkan Starbucks dengan Israel.

“Namun, Aqsa Syarif mengakui terdapat banyak pihak di luar sana yang membuat seruan agar pengguna di Malaysia turut memulaukan Starbucks atas alasan syarikat ini pernah atau masih menyumbang dana kepada Zionis Israel.

“Namun, fakta digunakan untuk pertahan seruan ini dilihat lemah tanpa berdasarkan fakta terkini. Fakta bahawa pemilik Starbucks adalah seorang jutawan Yahudi dan pernah menerima anugerah daripda Israel belum cukup kuat.

“Lebih-lebih lagi Starbucks sudah tidak beroperasi di Israel sejak tahun 2003.” Syarikat yang ditubuhkan pada 1971 itu kini mempunyai hampir 24,000 buah cawangan di 75 negara dengan 172,000 orang pekerja di seluruh dunia.

Malah Starbucks awal tahun ini mengumumkan untuk ambil 10,000 pelarian dari tujuh negara Islam sebagai tanda protes terhadap dasar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyekat kemasukan warga terbabit ke AS.



Isu pulau Starbucks kembali timbul ekoran pengumuman dramatik Trump pada 6 Disember lalu yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara baharu Israel, sekali gus mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Starbucks ada 220 cawangan di Malaysia selain negara Islam lain seperti Arab Saudi (92), Bahrain (19), Brunei (4), Jordan (14), Kuwait (89), Lubnan (30), Maghribi (9), Mesir (32), Oman (11), Qatar (18), Turki (408) dan UAE (138).

Negara paling ramai umat Islam di dunia, Indonesia yang memiliki 249 cawangan Starbucks pun pernah gempar dengan isu boikot sama, tetapi kerana isu rangkaian itu menyokong terbuka gerakan terkutuk LGBT antarabangsa.

Dalam pada itu, Aqsa Syarif menyeru seluruh rakyat Malaysia agar lebih fokus untuk hanya boikot lima syarikat yang menurutnya sebagai penyokong tegar rejim Zionis Israel termasuk aspek ketenteraan negara haram tersebut.

Firma berkenaan ialah syarikat teknologi komunikasi maklumat Hewlett Packard, syarikat keselamatan G4S, pembuat jentolak terkenal, Caterpillar dan Hyundai Heavy Industries serta produk kecantikan popular Ahava.

Menurut Aqsa Syarif lagi, gerakan boikot amat beri kerugian besar terhadap Israel sehingga kerajaan haram Zionis itu amat terdesak dan terpaksa mengumumkan ‘perang’ terhadap gerakan Boycott, Divestment and Sanctions.

Ini kerana kempen pemulauan sejagat itu terutama dari kalangan negara Kesatuan Eropah sendiri telah berjaya mengakibatkan pihak Israel kerugian teruk AS$4.7 bilion (RM19.2 bilion) setahun. – Agensi


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment