Saudi Batal Haram 35 Tahun, Wujud 2,000 Skrin Pawagam | KAKI PALU

Saudi Batal Haram 35 Tahun, Wujud 2,000 Skrin Pawagam

Share on Google Plus


RIYADH – Daripada langsung tiada panggung wayang gambar atau pawagam ketika ini, Arab Saudi bakal mempunyai 300 pawagam dengan 2,000 skrin menjelang tahun 2030.

Industri pawagam tempatan tersebut dijangka menyumbang sejumlah 90 bilion riyal Saudi (kira-kira RM98 bilion) kepada ekonomi Arab Saudi dan mewujudkan sebanyak 30,000 pekerjaan tetap.

Demikian antara kesan daripada pengumuman dramatik kerajaan Arab Saudi bahawa ia akan membatalkan perintah pengharaman 35 tahun ke atas kewujudan pawagam di negara terbesar Asia Barat itu.

Apa yang pasti, berita pelonggaran kerajaan terhadap hiburan seperti pawagam disambut baik oleh peminat filem, para pengarah filem serta juga syarikat perfileman dan pawagam tempatan.

Pemerintah Riyadh menyatakan bahawa pawagam pertama mungkin dibuka seawal Mac tahun depan, dengan butiran mengenai pelesenan dan peraturan pawagam diumumkan dalam masa beberapa minggu lagi.

Sehingga kini, para pembuat filem di Arab Saudi perlu menumpukan kepada pasaran-pasaran luar negara untuk menayangkan filem-filem mereka sendiri tetapi senario terbaharu itu akan berubah.

“Saya rasa kami akan menghidupkan semula keadaan di Mesir pada tahun 1950-an,” kata Haifaa Al Mansour, seorang wanita dan pengarah filem warga Arab Saudi yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Beliau merujuk kepada ledakan pengeluaran filem yang pernah tercetus di Mesir pada dekad tersebut, sehingga menjadikannya pusat popular pawagam dan perfileman berbahasa Arab selain digelar Hollwood Arab.

Mansour menyatakan bahawa filem boleh meluaskan lagi perjuangan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman untuk menggalakkan mesej versi Islam yang lebih toleran dan menumpaskan gerakan ekstremisme.

“Jika anda mahu memerangi pengganasan, anda perlu membuatkan rakyat menyayangi kehidupan. Sayang kepada kehidupan datang dari rasa gembira, dan pawagam adalah kegembiraan,” hujah Mansour.

Buat masa ini ribuan warga Arab Saudi terpaksa berkunjung ke dua buah negara jirannya iaitu Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mendapatkan hiburan menerusi tayangan filem di pawagam.

Dalam pada itu, rangkaian pawagam Timur Tengah juga mengintai pasaran negara konservatif itu. Ini kerana mereka berminat untuk memanfaatkan kuasa beli golongan muda yang meliputi 70 peratus penduduk Saudi.

Pengendali rangkaian pusat beli-belah terkenal berpangkalan di Dubai, Majid Al-Futtaim, yang memiliki rangkaian VOX Cinemas menyatakan, ia berminat membuka pawagam pertama di Arab Saudi.

“Kami sangat gembira dengan pengumuman ini. Anda boleh bayangkan, kami sudah lama menantikan berita baik sebegini,” ujar Ketua Eksekutif Al-Futtaim, Alain Bejjani.

Pawagam diharamkan pada awal 1980-an di bawah tekanan golongan konservatif agama. Ia antara lain bertujuan untuk tidak menggalakkan hiburan awam dan berlaku percampuran antara penonton lelaki dan wanita.

Hakikatnya, selepas satu generasi, semua itu akan berubah perlahan-lahan mulai tahun depan, kata Menteri Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi, Awwad bin Saleh Alawwad.

Beliau berkata: “Membuka pawagam akan bertindak selaku pemangkin bagi pertumbuhan ekonomi dan mempelbagaikannya dalam jangka masa panjang.

“Dengan membangunkan sektor budaya yang lebih luas, kami akan mencipta pekerjaan-pekerjaan baru dan peluang-peluang latihan, selain memperkaya pilihan-pilihan hiburan di negara ini.”

Filem ditayangkan namun akan ditapis demi memastikan ia selaras dengan nilai dan prinsip syariah kerajaan Saudi. Perincian mengenai hal itu tidak didedahkan, tapi ia dijangka akan agak ketat. – Agensi





Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment