Hospital Medan Cox's Bazar Akan Dinaik Taraf Lagi | KAKI PALU

Hospital Medan Cox's Bazar Akan Dinaik Taraf Lagi

Share on Google Plus



COX’S BAZAR (Bangladesh) – Malaysia akan meneliti beberapa kaedah bagi meningkatkan lagi dan menaik taraf perkhidmatan yang disediakan di hospital medan Malaysia di sini supaya ia dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik terutama kepada pelarian Rohingya.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohammed Noor berkata antara yang paling penting ialah menambah baik peralatan yang ada kerana jumlah pesakit semakin meningkat sejak dibuka 31 Nov lalu.

“Mungkin ada beberapa perubahan perlu dibuat… ada beberapa perkara akan diperkemaskan… harap dapat buat lebih baik.

Balik nanti kita akan sediakan laporan tentang cadangan-cadangan yang boleh dibuat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke hospital itu di sini Sabtu.

Lawatan beliau itu disertai bintang Hollywood kelahiran Malaysia Tan Sri Michelle Yeoh yang merupakan Duta Muhibah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Raja Mohamed Affandi berkata sehingga kini hospital itu menerima lebih 4,000 pesakit dan walaupun tujuan asal penubuhannya adalah untuk pelarian Rohingya yang berada di kem-kem di sini, hospital itu turut menerima kes melibatkan warga Bangladesh yang tinggal di kawasan berhampiran.

Katanya laporan lengkap dan cadangan untuk penambahbaikan hospital itu akan dibuat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secepat mungkin.

“Operasi hospital ini turut mendapat kerjasama dan sumbangan dari negara Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), ” katanya.

Pembinaan hospital medan dan penyediaan aset perubatan serta latihan teknikal kakitangan perubatan awam dilaksanakan oleh ATM manakala operasinya dikendalikan Kementerian Kesihatan dan turut mendapat sokongan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Terdahulu, Raja Mohamed Affandi dan Yeoh melawat kem pelarian Balukhali dan melihat sendiri keadaan pelarian Rohingya. – BERNAMA


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment