Mekah : Kota Yang Sentiasa Rasa Rindu | KAKI PALU

Mekah : Kota Yang Sentiasa Rasa Rindu

Share on Google Plus




BENAR kata mereka yang pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah, perasaan rindu yang menebal akan hadir sebaik sahaja kita meninggalkan kota itu.

Hari ketiga di tanah suci, rombongan TV AlHijrah di bawa oleh pihak Rayhar Travel melakukan ziarah ke Taif yang terkenal sebagai Bandar Bunga Ros.

Ziarah ke Taif bertujuan menyelami perjalanan dakwah Rasulullah SAW bersama sahabat baginda Zaid bin Harithah yang penuh duka.

Pada ketika itu dakwah baginda ditolak dengan keras oleh penduduk Taif sehingga menyebabkan baginda disakiti.

Kesemua rombongan telah diingatkan untuk membuat tawah Wada’ sebelum meninggalkan tanah haram untuk berlepas ke Taif kerana Bumi Taif berada di luar tanah haram dan terletak lebih kurang 120 kilometer dari Mekah.

“Memang sangat teruja nak ke Taif yang terkenal sebagai kawasan berbukit bukau yang sejuk dan subur itu, cuma kami rasa terkilan sedikit nak meninggalkan Masjidil Haram sehari suntuk hari ni.

“Rasa rugi pula tak dapat solat dan beriktikaf di sini,” kata salah seorang daripada anggota rombongan TV AlHijrah sebelum berlepas ke Taif.

Perjalanan ke Taif dengan bas dipimpin oleh Ustaz Dzulkarnain Hamzah yang berkongsi pelbagai kisah daripada sirah nabi dan di selang selikan dengan pelbagai versi selawat nabi secara bersilih ganti.

Perjalanan lebih sejam setengah melalui jalan raya yang agak luas dengan hamparan bukit-bukit batu yang tandus memberi pengalaman baru. Sekali sekala kelihatan beberapa ekor unta sedang meragut di tepi jalan.

Setelah tiba di Taif destinasi pertama ziarah ialah ke Istana Shubra, sebuah istana lama yang pernah dijadikan istana musim panas oleh Raja Abdul Aziz. Kini istana ini dijadikan muzium.

Wakil dari bahagian pelancongan Arab Saudi bercerita serba ringkas mengenai istana lama itu yang menyimpan banyak bahan sejarah Mekah, Madinah, Jedah dan Taif.

Istana dengan seni bina bercirikan Islam Rom itu difahamkan menggunakan kayu yang diimport dari Malaysia sebagai sebahagian daripada bahan binaannya.

Destinasi kedua rombongan ialah ke kilang memproses produk berasaskan bunga Ros. Taif sememangnya terkenal dengan produk berasaskan bunga Ros yang di eksport ke seluruh dunia.

Dari cairan minyak wangi berkualiti tinggi sehinggalah kepada produk teh berperisa bunga ros. Apa yang menarik semasa singgah di kilang proses bunga ros selain menikmati teh Ros dan membeli produk minyak wangi.

Tumpuan anggota rombongan juga tertumpu kepada penjual makanan seperti kacang dan kurma yang berniaga di sekitar. Peniaga tersebut seperti juga peniaga lain di Makkah dan Madinah mengalu-alukan orang ramai.

Ini termasuk untuk rasa produk makanan yang dijual. Kata ustaz yang bawa anggota rombongan “inilah cara orang Arab meniaga makanan, dihalalkan walau nak rasa sebanyak mana pun tapi jangan pula sampai masuk poket.”

“Mungkin ini sebahagian daripada budaya berniaga orang Arab yang boleh dicuba di negara kita.” Seloroh salah seorang anggota rombongan yang sibuk merasa pelbagai jenis kacang yang dijual.

Rombongan kemudiannya singgah di Masjid Abdullah ibn Abbas di bandar Taif untuk solat jamak takdim zuhur dan Asar. Banyak yang diceritakan mengenai riwayat Abdullah ibn Abbas yang disampaikan oleh ustaz Dzulkarnain.

Abdullah Ibn Abbas seorang perawi Hadis yang sangat rapat dengan Rasulullah yang juga merupakan sepupu serta teman sepermainan Rasulullah. Makamnya terletak betul-betul berhampiran dengan masjid.

Selepas meninggalkan masjid anggota rombongan dibawa ke beberapa lokasi lain yang menjadi persinggahan dalam perjalanan dakwah rasulullah di Taif. Antaranya Masjid Kouk, sebuah masjid kecil yang dibina dengan batu.

Ia pernah disinggahi Rasulullah untuk berdoa dan bermunajat seketika semasa baginda berada di Taif. Secara keseluruhan, Taif terkenal sebagai kawasan yang subur itu jika diperhati keadaan fizikalnya dengan lebih dekat.

Kelihatan agak misteri dan seakan-akan sebuah bandar tinggal tanpa penghuni. Jarang kelihatan orang ramai melakukan aktiviti-aktiviti harian di luar atau di sekitar kampung.

Yang ada hanyalah bukit dan lembah, kawasan kampung seperti tiada penghuni dan kedai-kedai yang seperti tidak dikunjungi pelanggan. Ia seakan-akan sebuah bandar mati.

“Jika difikirkan sejenak mungkin keadaan ini sangat berkaitan dengan tindakan penduduk Taif tidak terima dakwah Rasulullah pada masa dahulu, jika menerima mungkin kini Taif jauh lebih maju dan indah melebihi Kota Madinah.”

Itu respons Ustaz Rosli, pengurus besar bimbingan Rayhar Travel apabila mendengar anggota rombongan sibuk memberi komen masing-masing mengenai Taif.

Walau bagaimanapun di tengah bandar Taif masih seperti bandar lain di Arab Saudi, agak sibuk dengan aktiviti. Rombongan pulang semula ke Makkah menjelang waktu Maghrib.

Namun berhenti untuk solat jamak taqdim di Miqat Qarn Al Manazil, 35 kilometer dari Makkah. Tiba di Makkah rindu Masjidil Haram terubat, ada antara anggota rombongan terus ke Masjidil Haram sekadar ambil air zam zam.

Ada juga naik ke hotel dan terus ke masjid untuk beriktikaf. Ada pula yang merancang ke Miqat Tan’im dengan teksi dan kembali untuk mengerjakan umrah pada lewat malam.

“Sekadar berdiri depan hotel Al Maqam ini saja sudah cukup damai, boleh tengok Masjidil Haram dari dekat dan menyaksikan orang ramai tidak putus-putus ke masjid,” kata seorang anggota rombongan sambil hirup teh panas.


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment