Muhyiddin Akui Sukar Untuk Penuhi Tuntutan RoS | KAKI PALU

Muhyiddin Akui Sukar Untuk Penuhi Tuntutan RoS

Share on Google Plus



Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengaku parti itu tidak dapat memenuhi dua daripada sembilan perkara dituntut Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).



Muhyiddin berkata, dua tuntutan yang mungkin tidak boleh dipenuhi PPBM itu, adalah berkaitan perjalanan mesyuarat bahagian dan cawangan parti itu seperti diarahkan menerusi notis terbabit.



"Yang penting di peringkat parti, bila ada kehendak daripada ROS untuk maklumat yang mereka kehendaki, kita akan sempurnakan. Contohnya, dia (RoS) ada sembilan tuntutan atau perkara yang mereka minta laporkan termasuklah jumlah ahli kita (PPBM), mesyuarat agung yang sudah kita sempurnakan dan penyata kira-kira yang sedang diaudit.



"Jadi, perkara yang mungkin tidak boleh kita sampaikan, satu adalah mengenai laporan mesyuarat bahagian. Kita sudah jelaskan dahulu parti baru ditubuhkan dan di peringkat bahagian juga baharu diluluskan oleh RoS yang lama iaitu pada Julai 2017. Kalau diambil kira sampai sekarang pun, ia belum sampai setahun.



"Tidak ada pertubuhan yang belum setahun sudah ada mesyuarat agung (bahagian dan cawangan), apa laporan yang kita nak sampaikan. Kita bukan parti yang sudah lama, kita baru tertubuh," katanya pada sidang media di Pejabat PPBM Bahagian Pagoh di Taman Pagoh Jaya di sini, semalam.



Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata begitu juga mengenai tuntutan laporan mesyuarat cawangan parti itu yang dikehendaki RoS, sedangkan cawangan PPBM masih belum ditubuhkan.



"Demikian juga juga mereka minta laporan mesyuarat cawangan dan cawangan kita belum tertubuh satu pun. Jadi dua perkara itu, minta macam mana pun bukan tidak boleh sempurnakan kerana status parti itu dalam proses penubuhan.



"Inilah yang tak boleh kita sampaikan kerana tidak ada cawangan yang sudah didaftarkan. Yang lain-lain (tuntutan dalam notis) saya tidak fikir masalah... biarlah kita selesaikan dahulu lepas itu kita tengok lagi apa keputusan yang dia (RoS) buat," katanya dilapor BH Online.



Beliau menegaskan, dua perkara itu tidak boleh diselesaikan kerana belum ada mesyuarat diadakan pada peringkat itu kerana tempoh penubuhan parti itu yang belum lengkap setahun.



"Kalau ROS semak pun, tak ada permohonan untuk dapat kelulusan cawangan kerana masih peringkat penubuhan. Itu sahaja. Yang mungkin kita nak minta masa kalau perlu ialah menyiapkan laporan kewangan beraudit parti tahun 2017.



"Kerana kita baru selesai tutup 2017. Biasalah organisasi atau pertubuhan ini dia perlu masa sedikit. Bukan kita tak buat kerja kerana ini juru audit buat kerja, nak ambil masa check (periksa) baharulah siap kerana biasanya penyata untuk 2017 akan dibentang pada mesyuarat agung kita tahun ini juga. 2018 lama lagi tapi dah diminta sekarang oleh RoS.



"Jadi penyata itu belum lengkap, bukan sengaja tak nak buat. Hal-hal begitu memerlukan pertimbangan yang adil supaya kita boleh menyempurnakan apa yang dikehendaki oleh mereka (RoS)," katanya.



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment