Tok Mat Dedahkan Punca Harga Barang Naik Kerana Mahu Sabotaj Kerajaan | KAKI PALU

Tok Mat Dedahkan Punca Harga Barang Naik Kerana Mahu Sabotaj Kerajaan

Share on Google Plus



Harga barangan termasuk barangan keperluan asas yang semakin meningkat, sebenarnya antara lain berpunca daripada tindakan sesetengah peniaga yang sengaja menaikkannya demi meraih keuntungan berlebihan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yang menegaskan perkara itu berkata peniaga kemudiannya mengalihkan perhatian dengan menyatakan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah menyebabkan kenaikan harga barangan.

“Banyak isu nasional yang (sengaja) ditokok tambah… semua harga barang dikatakan mahal kerana GST. GST ini satu sistem cukai yang baik (dan) digunakan oleh lebih 160 buah negara berbanding dengan sistem cukai lama yang banyak ketirisan dan mudah dimanipulasi orang. Melalui cukai GST, anda tidak boleh lari.

“Itu sebab peniaga marah… itu sebab (mereka) sengaja mensabotaj kerajaan. Saya tidak teragak-agak untuk menyatakan bahawa peniaga mensabotaj kerajaan. Saya selalu ambil contoh daging lembu daripada RM20 naik ke RM35 (sekilogram) Apa pasal? Daging kerbau daripada RM28 naik kepada RM38. Mereka kata itu semua disebabkan GST. Kerbau kandang pun tiada dan makan rumput, dan rumput pun percuma. Jadi apa kena mengena dengan GST?,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama di Seremban.

Malaysia menguatkuasakan GST, cukai kepenggunaan yang dikenakan ke atas pembekalan barangan dan perkhidmatan, pada kadar 6 peratus sejak 1 April 2015.

Ia menggantikan kadar 5 hingga 10 peratus Cukai Jualan dan 6 peratus Cukai Perkhidmatan (SST), sistem percukaian yang selama ini dilaksanakan di negara ini. Sebanyak 164 buah negara termasuk tujuh negara anggota ASEAN melaksanakan sistem percukaian seumpama GST.

Malaysia merupakan antara negara di dunia yang mengenakan kadar GST terendah selain daripada Bahrain, Kanada, Myanmar, Nigeria, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang kesemuanya pada kadar 5 peratus manakala negara jiran Singapura dan Thailand masing-masing 7 peratus, Indonesia 10 peratus manakala Jepun pada kadar 8 peratus.

Mohamad berkata GST merupakan satu sistem percukaian yang baik dan telus namun perlu penambahbaikan di peringkat penguatkuasaan.

“Tiada siapa nak kawal… ikan kembung RM22 (sekilogram), ikan mana ada GST, sayur mana ada GST, barang makan mana ada GST tetapi peniaga kata GST dan orang ramai pun akur, GST,” katanya.

Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata hasil pendapatan negara akan berkurangan dan Malaysia akan berada dalam keadaan defisit tanpa kutipan GST.

Tanpa GST, Najib yang juga menteri kewangan berkata negara tidak mungkin mampu mengutip hasil sebanyak RM45 bilion setahun yang kemudian dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk bantuan pendidikan, bantuan kepada pekebun kecil dan nelayan serta Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

- Bernama



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment