Universiti Sepatutnya Mesra LGBT – Celebrating Identities | KAKI PALU

Universiti Sepatutnya Mesra LGBT – Celebrating Identities

Share on Google Plus




Sekumpulan pelajar dan alumni Universiti Sains Malaysia (USM) yang bersatu di bawah satu kumpulan menyokong hak-hak Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) mengutuk tindakan Persatuan Mahasiswa Islam USM (PMIUSM) yang berusaha ‘mengembalikan’ golongan tersebut kepada fitrah.

Menyifatkan forum umum anjuran PMIUSM sebagai program-program homofobia dan transfobia, kumpulan dengan nama Celebrating Identities itu mendakwa usaha tersebut sebagai satu bentuk ugutan (intimidation) dan gangguan berdasarkan orientasi seksual dan identiti jantina (gender identity).

Meluahkan ketidakpuasan hati mereka melalui satu surat kepada portal Malaysiakini, Celebrating Identities mendakwa bahawa PMIUSM sedang menganjurkan satu forum bertajuk “Back to the Fitrah: Menyantuni LGBT Kembali ke Jalan Allah” bertempat dalam kampus USM.

“Sebelum ini mereka (PMIUSM) menganjurkan forum yang lebih kurang sama pada tahun 2016 dan terbaru, sebuah video dan pertandingan membuat poster dengan tema yang sama.”

“Kami mengutuk pendekatan untuk “membetulkan” atau “menukar” individu LGBT dengan menggunakan agama. Penguatkuasaan mereka (menggunakan) teori-teori keras dan ketinggalan zaman terhadap isu orientasi seksual dan identiti jantina merupakan satu tindakan berbentuk diskriminasi.”

“Tidak salah lagi ini juga merupakan satu bentuk ugutan dan gangguan berdasarkan orientasi seksual dan identiti jantina yang tidak boleh diterima dan disokong dalam apa-apa bentuk sekalipun.”

Celebrating Identities juga menyifatkan usaha PMIUSM sebagai langkah radikal yang terbukti tidak efektif dan boleh menyebabkan kecederaan psikologi terhadap mangsa (LGBT).

“Langkah-langkah “pembetulan” seperti yang dinyatakan bukan sahaja terbukti sebagai tidak efektif, bahkan membawa lebih banyak kesan bahaya ke atas psikologi mangsa melalui langkah-langkah radikal ini.”

“Golongan LGBT adalah normal seperti golongan cisgender dan heterokseksual. Kami percaya dengan hak setiap anggota komuniti LGBT untuk merasa selamat mengekspresikan jantina dan identiti seksual mereka.”

“Kami menggesa PMIUSM untuk menghormati kepelbagaian seksualiti dan menamatkan segala bentuk retorik dan aktiviti-aktiviti bersifat anti-LGBT.”

Selain itu, Celebrating Identities juga mendakwa bahawa usaha-usaha untuk menganjurkan forum umum yang memfokuskan solidariti LGBT pada bulan April sedang dilakukan.

“Kami berharap untuk memberikan perspektif-perspektif alternatif ke atas isu untuk mempromosikan debat sihat dan kefahaman di kalangan pelajar.”

Sebelum ini, Nisha Ayub, pengasas bersama Justice for Sisters telah membantah kajian yang dijalankan oleh sebuah akademi khas untuk mengkaji dan menangani golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di bawah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (Infad), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan dakwaan bahawa ianya melanggar hak asasi LGBT.



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment