Dr M Jadi Calon Langkawi, Nawawi Tidak Terperanjat | KAKI PALU

Dr M Jadi Calon Langkawi, Nawawi Tidak Terperanjat

Share on Google Plus



Anggota Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad tidak terperanjat dengan keputusan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding merebut kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) Kedah juga sudah mengagak tindakan bekas perdana menteri itu yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk bertanding di pulau itu.

Katanya, beliau menghormati hak Dr Mahathir, 93, mahu bertanding di Langkawi selain menghormatinya sebagai orang tua dan orang yang berpengalaman dalam arena politik negara.

“Bagaimanapun, perlu ingat bahawa sentimen pengundi tidak boleh ditukar menjadi undi dan kita melihat undi berdasarkan kiraan pemilih bukan sentiment.

“Bila kita nak mengundi, kita kena fikir dan faham bahawa undi itu adalah untuk menentukan kerajaan yang akan menentukan hala tuju negara, bangsa dan agama pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nawawi, 56, memenangi kerusi Parlimen Langkawi buat pertama kalinya setelah mengalahkan calon PKR Ahmad Abdullah dengan majoriti 11,861 undi pada PRU13.

Pengerusi Media Sosial, BNBBC Parlimen Malaysia itu berkata demikian ketika mengulas pengumuman Timbalan Pengerusi HARAPAN yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai pencalonan Dr Mahathir bertanding kerusi Parlimen Langkawi atas tiket PKR pada PRU14.

Pengumuman itu, yang dibuat di Langkawi semalam, menyaksikan Dr Mahathir, 93, kembali ke kancah politik negara setelah tidak berbuat demikian pada tiga pilihan raya umum lalu.



-Bernama



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment