Ahli UMNO Jangan Terus Bersedih, Pesan Najib | KAKI PALU

Ahli UMNO Jangan Terus Bersedih, Pesan Najib

Share on Google Plus



PEKAN 20 Mei – Setiap ahli UMNO diingatkan supaya tidak terus bersedih dan lemah semangat walaupun parti keramat orang Melayu itu tewas serta gagal membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ahli UMNO tidak boleh meratapi kekalahan berkenaan terlalu lama sebaliknya mesti bangkit meneruskan perjuangan.

Kata beliau, jika hendak menangis dan memeluk beliau apabila berjumpa dengannya tidak menjadi masalah tetapi cukuplah selepas itu.

“Allah SWT tidak suka kita dalam tangisan. Allah sentiasa menguji kita sebab itu kita perlu reda dengan ujian. Kita tidak boleh sentiasa terbawa-bawa dengan kehibaan hati.

“Yakinlah, perjuangan suci ini wajib kita teruskan walau dalam keadaan getir dan tekanan. Ingat perjuangan kita adalah perjua­ngan suci dan mulia yang mana lambat laun rakyat akan sedar dan anak muda akan sedar perjuangan kita perjuangan sebenar atas nama bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat tahunan cawangan-cawangan dan pergerakan sayap-sayap UMNO Bahagian Pekan di Bangunan UMNO Bahagian Pekan, di sini hari ini.

Najib yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan berkata, perjua­ngan perlu diteruskan dan yang tidak setia dengan UMNO biarlah mereka meninggalkan parti itu.

Beliau mahu individu yang berada di dalam parti itu adalah pejuang sejati yang sayangkan UMNO.

“Kalau kita toreh badan kita, darahnya adalah darah biru dan merah. Darah kita darah pejuang UMNO.

“Kita pernah susah dahulu, kita bangun atas dasar perjua­ngan. Kalau hendak bangunkan UMNO, kita perlu terus berkorban untuk parti,” katanya.

Beliau menerima kekalahan UMNO pada PRU-14 dan atas prinsipnya, bekas Perdana Menteri itu bertanggungjawab de­ngan melepaskan jawatan sebagai Presiden parti tersebut.

“Saya akan bantu bangunkan UMNO dan meneruskan khidmat bakti saya sebagai pemim­pin di sini (Pekan). Saya pemim­pin yang mewakili UMNO dan saya tetap berjuang atas nama UMNO,” katanya.

Menurut beliau, walaupun tewas pada PRU-14, UMNO tetap berpegang kepada prinsipnya dan parti yang bermaruah.

“Kita bukan keturunan orang yang menipu rakyat dan saya bukan orang yang mencuri harta rakyat,” tegasnya.



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment