Berakhirnya Karier Politik Hishammuddin Tun Hussein? | KAKI PALU

Berakhirnya Karier Politik Hishammuddin Tun Hussein?

Share on Google Plus





Sebagai anak Allahyarham Tun Hussein Onn dan sepupu kepada Datuk Seri Najib Razak, sesetengah pihak menjangkakan takdir akan membawa Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjadi perdana menteri satu hari nanti.

Namun dengan keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang menyaksikan Umno serta BN kehilangan kuasa di Putrajaya, keadaan berubah sama sekali.

Malah wujud spekulasi mendakwa kegagalan itu juga mendorong Hishammuddin akan berundur sepenuhnya daripada politik.

Sumber memberitahu Malaysiakini, anak perdana menteri ketiga itu dikatakan akan menolak untuk dicalonkan bagi mana-mana jawatan dalam Umno semasa parti itu mengadakan pemilihan tidak lama lagi.

Ia termasuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden.

Sebelum parlimen dibubarkan Hishammuddin, 56, bertugas sebagai menteri pertahanan. Apabila Najib melepaskan jawatannya sebagai presiden Umno, Hishammuddin kemudian menjalankan tugas timbalan presiden Umno.

Seorang lagi naib presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilantik menjalankan tugas presiden.

Malaysiakini sudah menghubungi Hishammuddin untuk mendapatkan reaksi beliau dan masih menunggu kenyataan balasnya.

Mesyuarat sudah bermula

Seorang pemerhati politik yang dekat dengan Umno pula berkata, dia tidak terkejut jika Hishammuddin enggan bertanding dalam pemilihan akan datang.

"Saya tidak pernah melihat beliau bercita-cita terlalu tinggi.

"Tambahan pula sekarang Umno tidak menjadi kerajaan, dan ada kemungkinan dia masih penat dan kecewa," katanya kepada Malaysiakini.

Kekalahan Umno di peringkat pusat untuk kali pertama dalam sejarah mendorong pelbagai pihak menggesa agar parti itu mempertandingkan semua jawatannya.

Sebelum ini biasanya jawatan presiden tidak ditandingi atas alasan persefahaman dan mengelak perpecahan dalam parti.

Selain itu dengan pengunduran Najib, sejumlah nama disebut-sebut layak mengisi kekosongan jawatan tertinggi parti, termasuk Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan, Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapha Mohamed, bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Johari Abdul Gani dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mesyuarat cawangan Umno sudah bermula sejak 19 Mei lalu sehingga 10 Jun sebelum mesyuarat peringkat bahagian pula diadakan berikutnya.

Pencalonan untuk jawatan Majlis Tertinggi Umno perlu diserahkan kepada ibu pejabat parti itu antara 1 Jun hingga 17 Jun.

Bagaimanapun tarikh persidangan Umno dan pemilihannya belum diumumkan.



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment