Hanya 24 Jam, Lebih 100 Ribu Bantah Buka UiTM Kepada Bukan Bumiputera | KAKI PALU

Hanya 24 Jam, Lebih 100 Ribu Bantah Buka UiTM Kepada Bukan Bumiputera

Share on Google Plus




Dalam masa kurang 24 jam, lebih 100,000 individu telah menandatangani petisyen bagi menentang cadangan membuka Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada bukan bumiputera.

Petisyen itu sebagai tindak balas terhadap cadangan Hindraf 2.0 semalam memohon Jawatankuasa Pembaharuan Institusi untuk membuka universiti itu kepada kaum lain.

Setakat berita ini dilaporkan, petisyen yang dimulakan oleh presiden Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM), Mohd Zaini Hassan, yang juga penolong ketua editor Utusan Malaysia, memperoleh 105,725 penandatangan daripada sasaran seramai 150,000 orang.

"PAUiTM dengan ini berdiri teguh dan secara sebulat suara membantah sebarang cubaan untuk membuka kemasukan ke UiTM kepada semua kaum.

"Ini berdasarkan premis bahawa kedudukan UiTM sebagai persada pendidikan peringkat tinggi untuk anak Melayu dan Bumiputera adalah sebahagian daripada komponen hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.

PAUiTM yang mendakwa mewakili kira-kira 700,000 ahli berkata persatuan itu bimbang Hindraf mungkin menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat bumiputera.

"Walaupun PAUiTM sedar bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mengambil maklum sebarang tuntutan yang mewakili pelbagai masyarakat di negara ini, namun perkara berkenaan perlu ditangani dengan tegas bersama kesemua komponen kerajaan Pakatan Harapan dalam konteks pemeliharaan hak keistimewaan orang Melayu," tegasnya.

Mohd Zaini turut menambah bahawa kenyataan "menghasut" sedemikian sepatutnya dihentikan.

Hindraf 2.0 diketuai oleh P Uthayakumar, manakala adik lelakinya, P Waythamoorthy mengetuai Persatuan Hindraf Malaysia (PHM).

PHM adalah rakan strategik Pakatan Harapan (HARAPAN) tetapi Hindraf 2.0 tidak berkaitan secara rasmi dengan gabungan itu.

Waythamoorthy dalam satu kenyataan awal hari ini, menggesa abangnya dan Hindraf 2.0 untuk tidak menggunakan pendekatan konfrontasi.

"Saya ingin mengatakan dengan jelas kepada Uthayakumar. Perang ini telah berakhir dengan kekalahan BN. Uthayakumar mesti berundur dari jalan konfrontasinya dan menyertai semua yang kini bekerja keras untuk membina sebuah negara baru Malaysia.

"Sudah tiba masanya untuk membina semula masyarakat dalam Malaysia baru yang merupakan hasil kerja keras semua orang yang menyokong HARAPAN," katanya.



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment