Jabatan Agama Pantau Hotel Saji Bufet Ramadan | KAKI PALU

Jabatan Agama Pantau Hotel Saji Bufet Ramadan

Share on Google Plus





KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) telah melaksanakan pemantauan berkala di semua hotel  yang bakal menyajikan bufet Ramadan tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian  Pengurusan Halal Jaip , Noridzuan Abdul Manan berkata, pemantauan sebelum Ramadan dilakukan bagi memastikan pematuhan terhadap garis panduan, prosedur dan piawaian Halal dalam aspek penyediaan makanan sentiasa diamalkan oleh pihak hotel terutama di bulan Ramadan.

Menurutnya, beberapa hotel utama telah dipantau di sekitar Bandar Kuantan, Cherating dan Balok yang  merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Selain pemantauan terhadap bahan ramuan yang disahkan halal, aspek amalan pematuhan terhadap peraturan kebersihan semasa proses penyediaan makanan  turut diberi penekanan.

“Berdasarkan pemantauan yang dilaksanakan, Jaip berpuas hati dengan komitmen industri hotel dalam aspek pematuhan  halal. Walau bagaimanapun masih terdapat beberapa ketidakpatuhan kecil yang perlu diperbaiki,”katanya kepada Sinar Harian.

Noridzuan berkata, pemantauan tersebut dilaksanakan oleh Unit Penguatkuasaan dan Pemantaun  Bahagian Pengurusan Halal, Jaip.

"Pemantauan berkala akan terus dilaksanakan sepanjang Ramadan ini.

“Justeru, Jaip menasihatkan pihak hotel agar terus memberi komitmen penuh untuk mematuhi segala prosedur dan piawaian halal bagi terus meningkatkan kepercayaan pengguna, terutama sempena Ramadan yang mulia,"katanya.

Selain itu, pengguna yang berhasrat untuk berbuka puasa di hotel pula, dinasihatkan agar memilih hotel yang telah disahkan halal oleh Jaip.



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment