Mat Sabu Gementar Di Hari Pertama Menjadi Menteri Pertahanan | KAKI PALU

Mat Sabu Gementar Di Hari Pertama Menjadi Menteri Pertahanan

Share on Google Plus




KUALA LUMPUR 22 Mei - Mohamad Sabu hari ini secara rasminya memulakan tugas sebagai Menteri Pertahanan yang baharu setelah diumumkan menjawat portfolio itu kira-kira dua minggu lalu.

Beliau tiba di perkarangan Dataran Wisma Pertahanan di sini kira-kira pukul 9.30 pagi dengan menaiki Proton Perdana.

Ketibaan Ahli Parlimen Kota Raja itu disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Sejurus tiba, Mohamad yang lebih dikenali sebagai ‘Mat Sabu’ menerima tabik hormat daripada Kawalan Kehormatan Utama dan memeriksa barisan kawalan tersebut.

Beliau kemudian mengetip kad perakam waktu di ruang lobi kementerian pada pukul 9.40 pagi.

Sejurus selepas itu, Mohamad yang diiringi Abdul Rahim dan Raja Mohamed Affandi dibawa ke pejabat beliau di tingkat lima untuk menandatangani nota terima tugas jawatan Menteri Pertahanan.

Dalam sidang akhbar pertamanya sebagai Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengakui berasa gementar untuk memulakan tugas beliau.

Beliau juga mengakui canggung dengan kehidupan ‘berprotokol’ setelah dilantik memegang portfolio yang disifatkannya sebagai sangat penting itu.

“Saya selalu hidup dengan rakyat, kini perlu terlalu ikut protokol, benda baharu. Saya kena membiasakan diri dengan kehidupan baharu ini tetapi tidak mahu ubah gaya Mat Sabu,” katanya.

Berhubung perancangannya selepas ini, Mohamad memberitahu tempoh seminggu ini akan dimanfaatkan untuk mendengar taklimat daripada pelbagai sektor pentadbiran dan ketenteraan sebelum merangka pelan hala tuju kementerian di bawah pentadbirannya. - UTUSAN ONLINE



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment