Nama Ku Li & Salleh Disebut Pengganti Paling Tepat Untuk UMNO | KAKI PALU

Nama Ku Li & Salleh Disebut Pengganti Paling Tepat Untuk UMNO

Share on Google Plus



KU LI DAN SALLEH MAMPU PULIHKAN UMNO

Selepas perletakan jawatan Presiden UMNO oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, maka tumpuan kini terarah kepada siapakah akan mendapat kepercayaan ahli parti terbesar negara ini bagi mengembalikan semula maruah yang tercalar.

Setakat ini kelihatan penyokong Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, antara paling lantang mendesak pengunduran Najib dan mahukan beliau diberikan jawatan tersebut.

Tradisi dalam UMNO tentulah akan memberi laluan kepada gandingan Timbalan Presiden, Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Hishammudin Tun Hussien.

Mereka berdua antara dua pemimpin kanan yang paling berpengaruh dan mendapat sokongan pelbagai fraksi dalam UMNO.

Namun kehilangan kuasa pentadbiran persekutuan merupakan satu tamparan baharu kepada UMNO. UMNO kini bukan sahaja berdepan masalah kredibiliti tetapi juga jentera kerajaan yang besar.

Ahli UMNO perlu berfikir di luar hirarki sedia ada untuk mencari sosok tubuh yang berpengalaman, kurang kecacatan imej dan mampu memberi nafas baharu kepada rakyat.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) adalah orang yang mampu menyusun dan memulihkan semula UMNO setelah mengalami kekalahan terburuk dalam pilihan raya umum ke-14 yang lalu.

Beliau tidak berada dalam kabinet yang tumbang baru-baru ini. Ini bermakna beliau tidak akan terdedah kepada serangan parti pemerintah berdasarkan keputusan-keputusan yang dibuat sejak lima tahun kebelakangan ini.

Pengalaman Ku Li dalam kabinet Tun Razak dan Mahthir adalah satu kelebihan untuk berhadapan dengan Mahathir dan Anwar Ibrahim.

Meletak Ahmad Zahid, Hishammudin dan Khairy dalam kepimpinan atas UMNO hanya akan mendedahkan UMNO kepada serangan isu dalam pentadbiran lalu.

Justeru membawa Ku Li sebagai Presiden UMNO adalah satu langkah paling wajar bagi memulihkan wajah UMNO dan memberi keyakinan baharu kepada rakyat.

Mungkin UMNO juga perlu memberi peluang kepada Salleh Said Keruak dari Sabah sebagai Timbalan Presiden. Ini sekaligus mengukuhkan semula UMNO Sabah.

Ahmad Zahid dan Hisham perlu mengambil satu langkah ke belakang membantu UMNO tanpa terlalu menonjol. Ini untuk menyelamatkan mereka dan parti.

Khairy juga perlu kekal di jawatan Ketua Pemuda UMNO bagi memulihkan semula sayap yang gagal menarik sokongan orang muda.

Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil juga harus berundur memberi laluan kepada muka baharu walaupun dari kalangan mereka yang kalah dalam Pilihan Raya Umum lalu.

Hakikatnya, jika mahu pulih dan mendapat kepercayaan semula rakyat, muka-muka dalam kabinet lepas tidak harus memegang jawatan tertinggi parti.

Pihak musuh sedang mencungkil apa sahaja dari dalam kementerian mereka. Mereka akan menyerang dan mewujudkan persepsi negatif dan akhirnya kita akan menghabiskan masa membetulkan persepsi.

Jika mahu menang semula hati pengundi dan rakyat, maka kita semua harus sanggup berkorban segera. Dan pengorbanan itu harus bermula dari atas.

Jadikan kekalahan lalu sebagai iktibar.


http://www.mykmu.net/2018/05/ku-li-dan-salleh-mampu-pulihkan-umno/


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment