Pengawal Pengiring Najib Razak Ditarik Balik | KAKI PALU

Pengawal Pengiring Najib Razak Ditarik Balik

Share on Google Plus




KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Najib Razak akan mendapat layanan 'istimewa' sebagai bekas Perdana Menteri sekiranya didapati tidak bersalah dalam siasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Perdana Menteri berkata, jika didapati tidak bersalah, beliau akan dapat kembali kelebihan seperti bekas Perdana Menteri yang lain.

"Beliau (Najib) dalam siasatan dan tidak mewakili bekas Perdana Menteri," katanya selepas Majlis Iftar Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Masjid Bukit Aman, malam ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Najib menerusi Facebook bahawa semua pegawai keselamatan, polis pengiring serta anggota dari Unit Tindakan Khas (UTK) sudah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang juruiring kanan atau Aide De Camp (ADC).

Dalam kenyataannya Najib berharap, kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya sentiasa menjaga kebajikan kumpulan pengawal pengiring, UTK, polis pengiring dan pegawai yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan dan bantuan kepada beliau dan keluarganya.

Menurut Najib, semua mereka adalah anggota dan pegawai berdedikasi yang akan berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan.

"Hari ini saya membalas tabik hormat dan mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulan pengawal pengiring, UTK, polis pengiring dan pegawai yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan dan bantuan kepada saya dan keluarga sama ada di Pejabat Perdana Menteri serta di kediaman rasmi Seri Perdana," kata Najib menerusi kiriman itu di Facebook.

Najib berkata, tidak dapat dinafikan semua mereka diselubungi emosi dan ada yang menitiskan air mata ketika melafazkan kata-kata perpisahan.

"Saya dan keluarga tidak akan lupakan jasa, persahabatan dan kesetiaan mereka sepanjang sembilan tahun ini termasuk mereka yang sudah berjasa kepada kami selama 14 tahun semasa saya masih Timbalan Perdana Menteri.

"Hingga kita bertemu lagi, saya ucapkan kepada mereka selamat maju jaya dan berharap mereka akan terus berkhidmat kepada kerajaan baharu dengan dedikasi dan kesetiaan yang sama ketika bersama saya," katanya.

Sementara itu ditemui pada majlis sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata penarikan balik pengawal dan polis pengiring Najib serta keluarga adalah mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, ada kelayakan tertentu mengikut SOP yang patut diterima bekas Perdana Menteri.

"Kita akan kekalkan SOP yang ditetapkan. Bekas-bekas Perdana Menteri ada kelayakannya tertentu dan kita akan akur.

"ADC kita akan kekalkan. ADC untuk Datin Seri (Rosmah Mansor) kita akan kekalkan termasuk bodyguard (pengawal peribadi)," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, pengurangan atau jumlah pengawal dan pegawai polis sebagai pengiring serta pengawal peribadi dikurangkan berbanding sebelum ini berdasarkan SOP.



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment