Sirul: Jika Pulang, Saya Akan Dipenjara Dan Dibunuh | KAKI PALU

Sirul: Jika Pulang, Saya Akan Dipenjara Dan Dibunuh

Share on Google Plus




Bekas anggota polis Sirul Azhar Umar sebelum ini menawarkan untuk memberi maklumat berhubung pembunuhan Altantuya Shaariibuu dengan syarat diberikan pengampunan penuh untuk pulang ke Malaysia.

Dia kini nampaknya menarik semula tawaran itu.

Dalam wawancara dengan The Guardian, Sirul yang kini tahanan Imigresen Australia berkata mahu kekal di negara itu.

"(Anggota Parlimen Bukit Gelugor) Ramkarpal Singh mahu saya dipenjara seumur hidup. Saya tak mahu pulang. Orang kata: 'Jangan beri pengampunan'. Saya akan dibunuh di penjara," katanya ketika ditanya kesanggupan untuk pulang jika hukumannya diringankan.

Pada 2015, Sirul dan Azilah Hadri dihukum mati atas kesalahan membunuh Altantuya pada 2006.

Kedua-duanya pada masa itu bertugas sebagai pengawal peribadi Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri.

Azilah ketika ini menunggu untuk menjalani hukuman di penjara, tetapi Sirul lari ke Australia tiga tahun lalu.

Kerajaan BN sebelum ini tidak mengekstradisinya atas sebab undang-undang Australia tidak mengiktiraf hukuman mati.

"Gesaan untuk membuka semula kes Altantuya timbul selepas kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRU ke-14.

Pada 19 Mei, Sirul memberitahu Malaysiakini bahawa dia sanggup pulang dan membantu kes itu jika diberikan pengampunan penuh.

Ramkarpal kemudian berkata kerajaan tidak perlu melayan permintaan itu kerana masih ada saksi lain yang boleh membantu kes.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan dapat mengurangkan hukuman Sirul kepada penjara seumur hidup bagi membawanya pulang.

'Saya bukan orang jahat'

Dalam wawancara itu, Sirul enggan mengulas ketika ditanya sama ada maklumat yang ada padanya dapat membantu siasatan baru.

Dia juga enggan mengulas sama ada dia dapat mendedahkan siapa yang mengarahkan pembunuhan Altantuya.

Sebelum ini Sirul dilaporkan berkata menjadi kambing hitam dalam jenayah politik yang rumit dan pendakwa di Malaysia memilih untuk tidak memanggil beberapa saksi.

Dia juga mengakui membawa Altantuya sebelum "menyerahkannya kepada Azilah ketika perjalanan".

"Saya bukan orang jahat, tetapi kes itu membuatkan saya seperti orang jahat," katanya lagi.



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment