Sudah Selamatkah Malaysia? | KAKI PALU

Sudah Selamatkah Malaysia?

Share on Google Plus




Lima hari sudah berlalu. Dakwat di jari telunjuk masih melekat. Kerajaan baru di Putrajaya sudah dibentuk. Esok ramai penjawat awam akan mendapat tuan baru.

Ada yang gelisah nasib masing masing. Ada yang sudah melompat. Ada yang fikir akan kena buang kerja. Ada yang risau bulan puasa dan raya tahun ini bagaimana?

Mungkin kena jual nasi lemak dan jadi pemandu Grab untuk tampung keperluan keluarga. Anak anak yang tidak mengerti hal politik merenung sahaja muka ayah dan ibu yang bakal dibuang dan hilang kerja.

Anak anak tidak faham apa apa. Anak anak ini mengesat air mata ayah mereka. Namun mereka bangga kerana prinsip dan perjuangan ayah mereka tidak bertukar. Tetap setia bersama lencana keris di dada.

Mereka jadi mangsa rakyat Malaysia yang marah dan buang undi ikut emosi. GST, harga barang dan harga petrol masih sama. Sudah selamatkah Malaysia sekarang ini?

Lim Guan Eng jadi tuan di MOF, menjaga duit dan Mat Sabu jadi tuan menjaga askar. Bila jaga sahaja MOF, Guan Eng terus kata dia orang Malaysia bukan orang Cina. Apa yang orang Melayu nampak? Malaysian Malaysia lah.

Ramai yang tampil pertahankan kata Mahathir mampu kawal semua ini. Dulu Mahathir kawal MCA dan MIC, kali ini Mahathir boleh kawal juga Guan Eng dan Mat Sabu. Harap begitulah, namun kena ingat Mahathir sudah berusia, tidak lagi macam dahulu.

Rafizi pun sudah mula bunyi tentang kabinet yang sudah dibentuk. Ambiga tampil melawan balik cakap Rafizi. Apa sudah jadi dalam Pakatan Harapan? Akan bergaduh lagi?

Ya, segalanya boleh jadi. Anwar dijangka keluar. Tidak lama selepas itu, akan berlaku baliklah perseteruan lama 1998 dahulu. Bila UMNO tidak lagi dilihat menjadi ancaman, maka akan datang pula ancaman baru pada Perdana Menteri ke 7 itu.

Mahukah Mahathir berundur dan beri kuasa pada Anwar? Lagi 95 hari, rakyat Malaysia tunggu dan lihatlah apa yang berlaku. Terlaksanakah 10 janji atau masing masing sibuk rebut kuasa?

Ambil "pop corn" dan saksikan drama yang berlaku. Jangan salahkan UMNO pula jika berlaku apa apa selepas ini.

Baru lima hari, ada yang sudah rindu demokrasi dan cara diplomasi di zaman Datuk Seri Najib. Terima kasih Datuk Seri Najib. Selamat berehat Datuk Seri Najib. Apa pun berlaku UMNO masih parti yang menang banyak dalam PRU lepas.

UMNO dapat 54 kerusi, PKR 47 kerusi, DAP 42 kerusi, PPBM 13 kerusi, PBB 13 kerusi, Amanah 11 kerusi, Warisan 8 kerusi dan parti parti lain yang dapat tiga kerusi dan ke bawah. Ahli UMNO dan orang UMNO perlu bangkit.

Rakyat akan merindui segala galanya selepas ini. Rindu pada kebebasan. Rindu pada BR1M. Rindu pada ADAM50. Tok imam, nelayan, petani dan rindu kemurahan hati Datuk Seri Najib dan kerajaan BN yang lepas.

Lihatlah bagaimana baiknya orang Barisan Nasional. Mereka terima realiti dan tidak salahkan SPR bila kalah PRU14. Mereka tidak berdemonstrasi dan buat tuduhan bukan bukan.

Jadi kerajaan PH sekarang akan berdepan dengan pembangkang yang baik selama lima tahun ini. Orang BN kena bangun balik. Lawan dengan hujah dan fakta, sedarkan rakyat.

Baru sekali kalah, pihak yang jadi kerajaan hari ini sudah 12 kali kalah dan mereka masih tetap dengan pendirian mereka. Oleh itu, jangan cepat putus asa dan putus harap. Teruskan usaha menyedar rakyat.

Ada yang sudah menyesal undi PH. Hendak buat macam mana, kena tunggulah lima tahun lagi. Inilah wajah Malaysia yang kononnya telah diselamatkan sekarang. Baru 5 hari, masih panjang dan jauh lagi masanya hendak mengundi sekali lagi.

Nukilan
Hamba Allah


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment