Tempoh 100 Hari Tunai 10 Janji Bodoh! – Rafidah | KAKI PALU

Tempoh 100 Hari Tunai 10 Janji Bodoh! – Rafidah

Share on Google Plus




BIDAS… Mantan menteri Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz menyifatkan tempoh 100 hari Pakatan Harapan (PH) konon mampu memenuhi kesemua 10 janjinya itu sebagai amat tidak masuk akal.

“Kenapa mesti 100 hari? Kenapa tidak buat setahun?” tanya beliau dalam nada sindiran ketika sesi wawancara secara eksklusif dengan sebuah stesen radio perniagaan swasta tempatan BFM di ibu negara semalam.

Beliau yang pernah menjadi anggota jemaah menteri ketika era Tun Dr. Mahathir Mohamad kemudian berkata: “Jika kita buang tempoh 100 hari yang bodoh itu, maka kamu akan mendapat perspektif yang lebih baik.

“Kamu (kerajaan PH) tidak boleh melakukan perkara (janji) hanya dalam masa 100 hari. Malahan tiada sebuah negara pun di dunia yang hebat boleh menyelesaikan semua permasalahan dalam tempoh waktu cuma 100 hari.”

Mengulas lebih lanjut, Rafidah berkata bahawa walaupun langkah-langkah pembaharuan tertentu boleh dilakukan dalam jangka pendek, namun pihak kerajaan baharu perlu ada matlamat jangka sederhana dan jangka panjang.

Beliau bagaimanapun mendedahkan sedia memberi nasihat kepada pentadbiran Mahathir apabila diperlukan tetapi menjangkakan tidak semua cadangannya akan diterima oleh ketua kerajaan dengan usia paling tua di dunia itu.

Mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Mahathir, Rafidah berkata tiada sebab untuk bimbang jika ketua umum PKR itu dapat membuktikan beliau mempunyai motivasi yang sama.

Ini termasuk menjadikan Malaysia lebih baik sebagai mana dihasratkan perdana menteri sekarang. Mengambil maklum hal itu, beliau mengingatkan rakyat Malaysia bahawa memimpin negara merupakan kerja berpasukan.

Rafidah juga menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan PH tetapi mahu melihat pemimpin berwawasan jauh yang boleh melaksanakan apa yang dikatakan dan membuktikan diri mereka sebagai eksekutif yang berwibawa.

“Sesetengah orang kelihatan sangat bertenaga dan boleh bercakap dengan baik. Tapi itu tidak bermaksud mereka juga boleh bekerja dengan baik. Saya sebenarnya lebih mengutamakan pemimpin yang boleh membuat kerja.

“Lagi kurang bercakap itu memang lagi bagus,” kata Rafidah yang pernah dipilih menjadi Ketua Wanita UMNO Malaysia semasa zaman Mahathir sebagai perdana menteri keempat dahulu. – Agensi








Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment