Umno Perlu Bangkit Macam LDP, Jangan Terus Kalah Macam Golkar | KAKI PALU

Umno Perlu Bangkit Macam LDP, Jangan Terus Kalah Macam Golkar

Share on Google Plus





Kalah tidak bererti hilang dan musnah semuanya. Masih ada roh perjuangan dalam sanubari yang membakar dan terus menyala dalam setiap ahli UMNO. Di saat inilah kesetiaan kepada parti keramat ini teruji.

UMNO perlu menjalankan satu bedah siasat menyeluruh ke atas kegagalan parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 (PRU14). Cari kesilapan dan bangkit semula pada PRU15 nanti.

BN perlu mengambil teladan perjuangan Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah negara Jepun sejak tahun 1955 tapi kecundang pada PRU bertarikh 30 Ogos 2009 kepada Parti Demokratik Jepun (DPJ). Perdana Menteri, Jepun pada masa itu, Taro Aso mengaku kalah dan mengumumkan perletakan jawatan sebagai Presiden parti LDP.

Pada masa itu, DPJ menang 308 kerusi daripada keseluruhan 480 kerusi Dewan Perwakilan dengan LDP hanya menang 119 kerusi.

Selepas tiga tahun, parti LDP bangkit semula dan kembali berkuasa apabila memenangi pilihan raya negara itu.

Majoriti besar iaitu beza 189 kerusi antara LDP dan DPJ. Berbanding BN (79) dengan PH (125 kerusi), beza 46 sahaja.

Kebangkitan kembali parti LDP itu, dicipta pada 16 Disember 2012 apabila menang 300 daripada 480 kerusi Parlimen di Dewan Perwakilan Jepun.

LDP membentuk kerajaan dengan sekutunya Parti New Komeito yang menang kira-kira 30 kerusi. Kebangkitan itu memberikan kemenangan majoriti dua pertiga di Parlimen Jepun.

Dari hanya ada 119 kerusi, LDP tambah sampai jadi 300 kerusi. Bermakna LDP gunakan strategi yang betul untuk tawan kembali hati rakyat Jepun.

Dengan langkah serta strategi yang betul oleh Pemangku Presiden Umno dan Pengerusi BN yang baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pemangku Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, sudah pasti Umno akan bangkit semula pada PRU15 nanti.

Selepas BN kalah pada 9 Mei lepas, ada sindrom melompat parti dengan menyertai Pakatan Harapan (PH). Memberikan alasan kononnya kehendak rakyat. Rakyat pada hari mengundi memilih BN dan bukannya PH. Tindakan wakil rakyat BN jelas satu perbuatan tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.

Penyokong Umno berharap parti keramat tidak mengikut selusur sejarah yang sama seperti parti terbesar di Indonesia iaitu Parti Golongan Karya (Golkar). Parti itu bermula dengan kebangkitan Sekber Golkar oleh angkatan darat pada akhir pemerintahan bekas Presiden Indonesia Sukarno untuk menandingi pengaruh Parti Komunis Indonesia dalam politik.

Parti Golkar dalam pilihan raya 1971 iaitu pilihan raya pertama dalam pemerintahan Presiden Soeharto, Golkar menang. Selepas itu, ia terus menang pada pilihanraya seterusnya pada tahun 1977, 1982, 1987, 1992 dan 1997. Parti itu menerajui pentadbiran Indonesia selama 32 tahun sejak Soeharto mengambil alih.

Kekuatan Golkar kali pertama diuji ketika reformasi politik pada tahun 1998 dan parti itu gagal dijatuhkan melalui gerakan mahasiswa yang cuba menjatuhkannya. Selepas Soeharto meletak jawatan, kepimpinan negara bertukar tangan kepada seorang lagi pemimpin Golkar, B. J. Habibie sebagai Presiden Indonesia yang ke-3.

Dalam Pemilihan Umum Presiden dan Naib Presiden yang pertama pada 2004, rakyat telah memilih parti lain untuk menerajui negara dan Abdul Rahman Wahid atau Gus Dur daripada Parti Kebangkitan Bangsa dilantik sebagai Presiden Republik Indonesia ke-4.

Kini, Golkar sudah menghadapi krisis politik yang berterusan yang teruk dan belum mampu bangkit kembali sebagai Golkar yang dahulu. UMNO tidak harus jadi seperti Golkar, UMNO harus bangkit seperti LDP.

PRU14 di Malaysia menyaksikan BN dan Umno diuji tetapi tidak kalah begitu teruk kerana tidak ada satu parti dalam PH berjaya dapat majoriti mudah.

UMNO menang 54 kerusi, parti parti komponen BN menang lagi 25 kerusi. DAP dapat 42 kerusi, PKR dapat 49 kerusi, PAN dapat 10 kerusi, PPBM dapat 12 kerusi, PAS 18 kerusi, Warisan 8 kerusi.

UMNO masih parti yang menang kerusi terbanyak. Jadi berhentilah wahai air mata, simpanlah untuk perjuangan esok yang bakal mendatang.

Semalam ada 500 orang pekerja kontrak dibuang, beratus lagi kakitangan ICU dibuang di seluruh negara dan 1,000 orang staff JASA akan menerima nasib yang selepas hari raya nanti.

Sudah ada orang bercakap, ingat PH tidak suka pada Najib dan BN sahaja. Mahu buang Najib dan BN sahaja, rupanya ramai kena buang bila mereka ambil alih Putrajaya.

Yang kena buang ini ramainya orang Melayu. Bagaimanalah puasa dan Aidilfitri mereka pada kali ini? Hanya UMNO yang dilihat mampu ke depan pertahan nasib beribu ribu orang Melayu ini.

Bangkitlah UMNO. Sudah sudahlah menyalah sama sendiri. Cari penyelesaian bukan tuding jari. Ayuh ke depan, bela nasib rakyat. Jangan jadi macam Golkar, bangun dan menang balik seperti LDP.

Ikhlas,
Ahli UMNO Peringkat Bawah


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment