Gaji Minimum RM1,500 Jejaskan Industri Perladangan | KAKI PALU

Gaji Minimum RM1,500 Jejaskan Industri Perladangan

Share on Google Plus





KUALA LUMPUR - Syarikat ladang kelapa sawit terbesar dunia berdasarkan kawasan ditanam, Sime Darby Plantation Bhd menjangka cadangan kenaikan upah minimum kepada RM1,500 akan mendatangkan kesan buruk terhadap industri perladangan.

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, cadangan itu jika dilaksana, akan meningkatkan kos tenaga kerja kepada jumlah kos pengeluaran sebanyak 35 peratus daripada 26 peratus pada masa ini.

"Ini bermakna kos tambahan RM185 satu tan metrik," katanya mengenai prestasi kewangan suku ketiga syarikat itu.

Menurutnya, Sime Darby Plantation dan pemain lain dalam industri kini sedang membuat permohonan untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi menangani kebimbangan mengenai gaji minimum.

"Sekiranya dilaksanakan saya harap gaji minimum RM1,500 tidak akan diwajibkan kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk ke atas kewangan," katanya.

Pakatan Harapan dalam manifesto PRU14 berjanji meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500.

Mohd Bakke berkata, satu lagi perkara membimbangkan Sime Darby adalah janji mengurangkan pekerja asing.

Menurutnya, perladangan adalah industri intensif buruh dan pekerja asing merupakan 70 peratus daripada jumlah tenaga kerja dalam industri tersebut.

Oleh itu, apa-apa gangguan kepada tenaga buruh akan memberi impak besar kepada industri, katanya.

"Walaupun Sime Darby Plantation telah  mencapai 85 peratus kemajuan dalam automasi tetapi anda hanya boleh melakukan sebanyak itu sahaja dengan mekanisasi," katanya. - Bernama



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment