Halatuju Orang Melayu Dan UMNO Selepas 9 Mei | KAKI PALU

Halatuju Orang Melayu Dan UMNO Selepas 9 Mei

Share on Google Plus



Baru-baru ini saya telah menulis surat kepada YB Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agong UMNO akan hasrat saya untuk menukar bertanding daripada jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh kepada jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh.Sebelum ini saya bercadang untuk bertanding di peringkat Naib Ketua Bahagian. Namun saya berpandangan di tahap Naib Ketua Bahagian, tidak cukup banyak perubahan yang boleh saya lakukan di kala kita perlu membuat banyak perubahan dalam masa yang singkat.

2.    Ada orang mencadangkan kepada saya supaya tunggu penggal depan untuk bertanding sebab ada satu lagi pemilihan UMNO pada penggal depan sebelum Pilihanraya Umum ke-15. Namun saya membuat keputusan akanbertanding di pemilihan UMNO pada penggal ini sebab saya bukan seorang opportunistyang ingin memegang jawatan UMNO hanya untuk mencari peluang bertanding pilihanraya. Niat dan nawaitu saya ialah untuk membuat kerja dan berkhidmat untuk memulihkan parti. Oleh sebab itu saya fikir inilah masanya yang paling kritikal untuk saya menyumbang khidmatkepada parti di kala UMNO berada di saat paling getir kini,dan bukannya menunggu untuk mencuri peluang setelah ribut sudah berlalu dan kapal telah diperbaiki atas penat lelah orang lain.

3.    Saya telah beristikharah. Jawatan Ketua Bahagian ini kini adalah satu tanggungjawab yang berat dan besar. Saya sedar yang tanggungjawab ini bukannya mudah kerana keadaan kita kini bukan seperti dahulu. Ia memerlukan komitmen dan semangat juang yang kental dengansepenuh jiwa raga. Dalam tiga tahun akan datang ini, kerja yang perlu dilakukan adalah banyak dan pulangannya tiada. Saya tidak mengharapkan apa-apa balasan, hanyalah pengorbanan kepada agama, bangsa dan tanahair.

4.    Saya tidak mengejar jawatan atau kuasa. Kerana kini jawatan ini tidak lagi banyak bermakna. Kita bukan lagi kerajaan. Kuasa pun sudah tiada. Niat dan nawaitu saya dan apa yang saya tawarkan ialah untuk berkhidmat kepada tuan-tuan dan puan-puan secara sukarela dan percuma sebab saya sayang kepada UMNO. Kita perlu bersama-sama membela nasib UMNO dan orang-orang Melayu pada waktu yang getir ini. Inilah tawaran sumbangan dan pengorbanan saya kepada parti dan negara.

5.    Kini kita bukan lagi Kerajaan. Kita tiada lagi sumber dana kerajaan atau jentera kerajaan untuk membantu kita dalam pilihanraya.Dan kini kita tidak boleh menewaskan Kerajaan Pakatan dengan wang ringgit.Sebab itu kita perlu menghapuskan politik wang di semua peringkat. Sebaliknya, kita perlu menggunakan idea dan semangat juang yang kental dan cara kerja yang berbeza.

6.    Bukan mudah untuk menewaskan Kerajaan Pakatan kini.Sebab itu di saat getir ini kita perlu membuat banyak perubahan dan adjustments di kala keadaan di sekeliling kita dan sumber-sumber kita telah berubah. Albert Einstein pernah berkata, “Kegilaan adalah membuat cara yang sama dengan berulang-ulang tetapi berharap mendapat keputusan yang berlainan”. Kita perlu keluar dari “kegilaan” ini.

7.    Semasa saya bekerja dalam Kerajaan dan sebagai Pegawai Khas kepada YAB Perdana Menteri dahulu, saya banyak menghabiskan masa di peringkat nasional. Saya akui kerana kesibukan tugas di pejabat berkhidmat dengan YAB Perdana Menteri, saya telah tidak dapat meluangkan banyak masa di Sungai Buloh ini. Namun kini, saya bukan lagi pegawai kerajaan dan saya boleh menumpukan khidmat sepenuh masa di bahagian Sungai Buloh inibersama akar umbi. Saya akan membawa pengalaman saya selama hampir 20 tahun dalam Kerajaan dan Syarikat Berkenaan Kerajaan untuk berkhidmat untuk UMNO dan masyarakat di Sungai Buloh.

8.    Saya telah menghantar borang UMNO untuk mendaftar sebagai ahli UMNO 19 tahun yang lepas pada tahun 1999. Namun hanya dapat didaftar sebagai ahli secara rasmi 15 tahun kemudian pada tahun 2014. Dahulu mungkin susah untuk menjadi ahli UMNO. Ramai orang seperti saya yang mahu menjadi ahli UMNO namun tidak didaftarkan dan mereka telah pergi ke parti-parti lain. Kini setelah kita tewas pilihanraya, mungkin tidak ramai lagi yang minat untuk menjadi ahli UMNO seperti dahulu. Yang tinggal hanyalah pejuang-pejuang sejati seperti kita. Untuk memenangi hati rakyat dan seterusnya menang pilihanraya, kini kita perlu berusaha supaya rakyat kembali percaya dan suka kepada UMNO semula. Dan ujian pertama adalah samada mereka berminat untuk menjadi ahli UMNO secara sukarela. Dan apabila mereka berminat, kita perlu memudahkan pendaftaran mereka. Kita perlu menambah ramai lagi ahli UMNO dan memudahkan pendaftaran. Ini menjadi salah satu agenda saya.

9.    Saya telah terlibat dengan gerak kerja pilihanraya dari peringkat akar umbi sejak kecil pada tahun 1980-ansejak PRU ke-7 di Selangor. Ibu bapa saya adalah jentera akar umbi UMNO Selangor sejak dahulu lagi. Saya juga telah terlibat secara langsung dalam war room di peringkat tertinggi dalam merangka strategi-strategi dan kempen di banyak pilihanraya-pilihanraya kecil sejak lima tahun yang lalu seperti di PRK Teluk Intan (2014), PRK Pengkalan Kubor (2014), PRK Permatang Pauh (2015) dan PRK Sungai Besar (2016).

10.    Saya kasihan kepada jentera JR Wanita kerana bertungkus lumus menjejak pengundi daripada rumah ke rumah. Apabila kajian sikap tidak memberangsangkan, maka mereka selalu dipersalahkan. Ini bukan salah mereka. Keadaan semasa telah berubah yang menyukarkan kerja mereka. Saya faham sangat akan perkara ini sebab ibu saya dahulu adalah seorang jentera Wanita yang telah berkhidmat selama lebih 30 tahun menjejak dan merayu undi bersama UMNO.

11.    Dalam PRU-14 pada 9 Mei 2018 yang lalu, kita telah tewas. Banyak kelemahan yang kita perlu akur dan kaji supaya kita dapat membuat pembetulan dan perubahan. Gerakkerja untuk mendekati pengundi juga perlu berubah. Jika 20-30 tahun dahulu kebanyakan pengundi masih tinggal di kampung-kampung yang mana kita kenal secara peribadi kebanyakan daripada mereka, kini lebih 70 peratus daripada pengundi kita tinggal di kawasan bandar. Kita dikelilingi kawasan “gated and guarded”tertutup danpangsapuri-pangsapuri yang tidak boleh dimasuki. Jumlah pengundi kita terutama di Selangor juga telah bertambah. Jika dahulu satu kawasan parlimen hanya mempunyai 30 ke 40 ribu pengundi, kini banyak kawasan parlimen di Selangor mempunyai melebihi 100 ribu pengundi. Kita tidak boleh lagi buat pendekatan lamadi kampung untuk memikat pengundi yang kebanyakannya tinggal di bandar. Pendekatan kita perlu berubah.

12.    Dan kebanyakan daripada pengundi-pengundi baru di bandar ini adalah di kalangan orang-orang muda. Sebab ini saya mencadangkan jika kita mahu menang pilihanraya pada masa akan datang, kita perlu meluaskan dan memperkasakan lagi peranan sayap Pemuda dan Puteri UMNO. Saya percaya, mereka mampu memikat pengundi muda yang se-generasi dengan mereka. Kita perlu lebih mendengar rintihan dan cadangan mereka.

13.    Kita telah kalah pilihanraya bukan sahaja kerana isu-isu setempat, namun kerana isu-isu nasional. Saya akan membawa pengalaman saya di peringkat nasional untuk membawa hujah-hujah berkaitan isu nasional dan membangkang kerajaan secara kuat, lantang dan bertanggungjawab.

14.    Di kebelakangan ini kita menang hanya di kawasan kampung-kampung. Di hampir semua tempat di bandar dan separa bandar termasuklah di Sungai Buloh ini kita tewas. UMNO tidak boleh lagi jadi juara kampung. Kita perlu jadi juara masyarakat di semua peringkat. Untuk menjadi pembangkang yang kuat dan menewaskan Pakatan, kita perlu mengutarakan dan membawa isu-isu rakyat, bukan sahaja di peringkat setempat, malah di peringkat negeri dan nasional, di kampung dan juga di bandar. Kita tidak hanya boleh jadi jaguh kampung, namun perlu berani dan lantang menentang Pakatan dengan fakta dan hujah yang bernas. Jika kita hanya bersilaturrahim sesama kita dalam kampung, namun tidak berani bersilat di gelanggang hujah membawa isu-isu penting masyarakat di peringkat negeri dan negara, kita tidak akan berjaya menewaskan mereka. Kita bukan sahaja mahu kuat di dalam UMNO, kita mahu menarik sokongan rakyat. Untuk ini kita perlu bijak dan lantang berhujah.

15.    Saya juga mencadangkan satu proses yang lebih telus dalam pemilihan calon-calon pilihanraya yang mewakili UMNO di Bahagian Sungai Buloh dalam pilihanraya yang akan datang di peringkat DUN mahupun Parlimen. Dalam proses baru ini, semua ahli parti berpeluang menjadi calon pilihanraya. Dan semua ahli parti juga berpeluang mencadangkan dan menyokong siapakah calon pilihanraya pilihan mereka.Pemilihan calon ini akan dilakukan secara konsensus dan terbuka. Calon yang terpilih akan disokong penuh oleh Bahagian untuk dibawa ke peringkat pusat untuk pertimbangan.

16.    Jika terpilih sebagai Ketua Bahagian, saya juga akan berusaha untuk mencari dana untuk menampung perbelanjaan operasi bahagian. Walaupun kita tidak lagi boleh berbelanja besar kerana kekangan sumber kewangan kepada parti, namun perbelanjaan minimum seperti sewa pejabat, api, air, gaji kerani dan sebagainya perlu terus dibayar setiap bulan. Saya akan berusaha. Dan saya juga akan memastikan hal ehwal kewangan bahagian diurus dan ditadbir dengan telus, transparen dan adil dalam pembahagian peruntukan dana kepadabahagian mahupun kepada cawangan-cawangan.
BAB 2
UMNO perlu kekal sebagai parti Melayu

17.    Baru-baru ini beberapa pemimpin UMNO bercadang untuk membuka keahlian parti UMNO kepada bukan Melayu. Saya tidak bersetuju dengan cadangan ini. Jika ini berlaku maka parti UMNO ini akan menjadi bukan lagi parti Melayu dan lemah semangat perjuangan Melayunya. Kita tidak perlu mengubah perjuangan kita untuk menjadikan UMNO ini bukanparti Melayu hanya kerana terpengaruh dengan flavor of the day dan pendapat orang lain terutamanya daripada Pakatan yang ingin menghancurkan parti kita. Jika UMNO bukan lagi parti Melayu, kita akan jadi seperti tiruan PKR.Dan jika ini berlaku kita akan hilang roh semangat perjuangan Melayu. Dan tanpa roh ini, parti kitaakan lenyap diarus zaman dalam masa yang singkat ini. Inilah yang pemimpin Pakatan mahukan. Kita tidak boleh terperangkap dengan helah ini. Ini akan merugikan orang-orang Melayu. Perubahan besar yang perlu dibuat ialah membersihkan parti daripada politik wang dan bukannya membuang asas utama perjuangan parti kita iaitu untuk membela nasib orang-orang Melayu.

18.    UMNO ini adalah parti Melayu. Ianya perlu kekal sebagai parti Melayu. Orang-orang Melayu bukanlah suatu bangsa yang supremist atau racist. Namun bangsa Melayu adalah bangsa yang terdedah kepada prejudis dan bias orang lain terhadap mereka, yang mudah menyebabkan mereka disisih dan dipinggir dan menjadi mangsa kepada supremist atau racist. UMNO perlu kekal menjadi parti Melayu bukanlah kerana kita ini supremist atau racist, tetapi sebaliknya untuk melindungi orang-orang Melayu daripada menjadi mangsa supremist atau racist dalam masyarakat.

19.    Orang-orang yang mahu memburukkan UMNO selalu menyatakan bahawa UMNO ini kononnya memperjuangkan “Malay supremacy”. Frasa ini seolah-olah menunjukkan yang UMNO dan orang-orang Melayu ini racist. Sebenarnya UMNO tidak pernah memperjuangkan “Malay supremacy”. Frasa ini datangnya daripada terjemahan frasa “ketuanan Melayu” yang disalah terjemah ke Bahasa Inggeris. Terjemahan yang betul kepada “ketuanan Melayu” bukanlah “Malay supremacy”. Kerana orang-orang Melayu tidak pernah berkata bangsa Melayu ini adalah lebih superioratau hebat daripada bangsa lain. Sebaliknya yang biasa berlaku ialah bangsa lain yang menyatakan bahawa bangsa mereka adalah lebih superior daripada bangsa Melayu dan bangsa Melayu ini adalah inferior atau lemah.

20.    Takrifan sebenar frasa “ketuanan Melayu” adalah Melayu sebagai tuan tanah di negeri ini. Iaitu orang-orang Melayu telah menetap di sini dan membina peradaban di sini sejak sekian lama, oleh itu mereka adalah “tuan” di tanah ini. Dalam sejarah dan mana-mana dokumen berkenaan ketuanan Melayu dan dalam mana-mana takrifan, tidak pernah ada kenyataan dan takrifan bahawa bangsa Melayu itu adalah bangsa yang mengaku mereka superioratau hebat berbanding bangsa lain. Orang Melayu bukan bangsa yang sombong dan bongkak, malah orang Melayu adalah satu bangsa yang terkenal dengan merendah diri. Sebab itu apabila orang lain menterjemah dan menakrifkan “ketuanan Melayu” itu dalam Bahasa Inggeris sebagai “Malay supremacy” ianya adalah suatu terjemahan yang amat salah dan tidak bertanggungjawab untuk menggambarkan bahawa orang Melayu dan UMNO ini racist. Namun hakikatnya adalah sebaliknya.

21.    Perdana Menteri Tun Dr Mahathir selalu berkata bahawa Melayu ini malas dan bodoh. Ini bukti yang bangsa Melayu ini tidakpun dianggap superior malah dianggap lemah. Anggapan Dr Mahathir ini adalah suatu bentuk prejudis dan bias dan bigotry terhadap orang-orang Melayu. Saya percaya dengan kata-kata Descartes iaitu “Cogito ergo sum” atau “Saya fikir oleh itu itulah saya”. Jika hari-hari kita kata dan fikir kita bodoh dan malas, mungkin kita akan menjadi begitu walaupun kita sebenarnya tidak bodoh dan malas.

22.    Orang Melayu bukanlah bodoh dan malas, namun prejudis dan bias ini menghantui mereka dan menyebabkan mereka dibenci dan diperlekeh. Prejudis dan bias ini sebenarnya dimulakan semasa zaman penjajahan British dahulu sebagai propaganda untuk melemahkan pemikiran orang-orang Melayu. Propaganda yang sama dilakukan oleh orang kulit putih terhadap orang kulit hitam di Amerika dua ratus tahun yang lepas. Ramai tokoh-tokoh Melayu di pelbagai bidang yang berjaya. Mereka ini tidak malas dan bukan bodoh. Namun ramai yang terbantut peluang dan didiskriminasi akibat prejudis, bias dan stigma ini.Bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton baru-baru ini berkata bahawa walaupun dunia telah moden dan berubah, masalah identiti (prejudis dan bias terhadap kaum) masih menjadi isu yang besar. 

23.    Akibat daripada prejudis dan bias ini, ramai orang Melayu masih sukar untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat-syarikat bukan Melayu, dan ramai usahawan-usahawan Melayu masih menghadapi masalah dalam perniagaan kerana sukar menembusi rangkaian perniagaan dan supply-chainatau rantaian bekalan yang dikuasai bukan Melayu.Ini adalah hakikat dan realiti.

24.    Walaupun dahulu kita menguasai Kerajaan, namun pecahan ekonomi yang disumbang oleh Kerajaan hanyalah satu per lima sahaja. Selebihnya iaitu empat per lima daripada ekonomi negara adalah di sektor swasta. Orang Melayu tidak menguasai sektor ini. Sebab itu selepas hampir 50 tahun dasar ekonomi bumiputera, ekuiti Melayu dalam ekonomi adalah kurang daripada 20 peratus, walaupun bilangan orang-orang Melayu dan Bumiputera adalah melebihi 60 peratus. Ini menyebabkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi dan ketidakadilan ekonomi atau inequity.

25.    Tanpa dasar ekonomi bumiputera oleh Kerajaan dahulu, mungkin kini ekuiti Melayu berada jauh lebih rendah, seperti yang berlaku kepada etnik-etnik yang dipinggir di negara-negara lain yang tidak mengamalkan dasar intervensi kaum. Etnik yang dipinggir tidak semestinya minoriti. Di banyak negara, etnik majoriti yang dipinggir seperti yang berlaku di Afrika dan Amerika Selatan. Bekas Perdana Menteri Britain Margaret Thatcher dalam bukunya Statecraft pernah menyatakan bahawa di Indonesia, kurang lima peratus rakyatnya iaitu daripada satu kaum minoriti menguasai lebih 80 peratus daripada ekonomi Indonesia.Kini di Malaysia, tiada lagi dasar ekonomi Bumiputera dan dasar intervensi kaum akan dihapuskan oleh Kerajaan Pakatan. Ini akan menerukkan lagi masalah ketidakseimbangan sosio-ekonomi kaum dan masalah inequity.

26.    Kini tahap ancaman kepada kaum Melayu adalah lebih serius dan didepan mata samada kita sedar atau tidak. Kita tidak lagi menguasai Kerajaan. Dalam kurang dua bulan ini berpuluh ribu penjawat awam telah diberhentikan kerja oleh Kerajaan Pakatan.Hampir kesemua mereka ini adalah orang Melayu. Mereka bukanlah hanya statistik atau angka di atas kertas. Mereka ini adalah real peopleyang mempunyai kehidupan dan keluarga. Mereka ini akan dilambak di pasaran kerja dan perniagaan di sektor swasta dan bersaing dengan graduan-graduan yang baru keluar universiti.

27.    Seperti yang saya nyatakan di atas, kita tidak menguasai sektor swasta, dan kita tahu diskriminasi kerja berlaku di sektor swasta terhadap orang-orang Melayu. Ini mendatangkan masalah kepada kita apabila kini Kerajaan pun tidak ambil orang Melayu bekerja malah membuang lagi mereka. Jika terpilih sebagai Ketua Bahagian UMNO Sungai Buloh, saya akan membuka sekretariat untuk memperjuangkan nasib 50 ribu orang penjawat awam yang diberhentikan kerja tanpa pampasan ini.Sekretariat nasional ini akan ber-ibu pejabat di pejabat UMNO Bahagian Sungai Buloh.

28.    Salah satu sebab mengapa ekonomi negara berkembang pesat selepas tahun 1970an ialah kerana dasar ekonomi bumiputera telah berjaya membina kelas pertengahan yang lebih besar. Orang Melayu telah keluar daripada kepompong kemiskinan dan masuk ke kelompok kelas pertengahan dan professional. Kini selepas 40 tahun dasar ekonomi Bumiputera, ramai anak-anak petani, nelayan dan penoreh getah Melayu yang dulunya miskin kini pulang ke kampung berhari raya sebagai jurutera, doktor, peguam dan akauntan. Dengan kelas pertengahan yang besar ini, pasaran pun menjadi lebih besar kerana pendapatan rakyat bertambah. Ini menguntungkan semua pihak bukan sahaja orang-orang Melayu malah peniaga-peniaga di sektor swasta yang kebanyakannya adalah bukan Melayu.


Anwar Ibrahim dan Penghapusan Dasar Tindakan Afirmatif oleh Kerajaan Pakatan

29.    Baru-baru ini pemimpin Pakatan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa dasar intervensi berdasarkan kaum atau dasar tindakan afirmatif seperti dasar ekonomi Bumiputera akan dihapuskan. Pemimpin Pakatan berpendapat bahawa dasar ini adalah racist. Sebenarnya dasar tindakan afirmatif seperti dasar ekonomi bumiputera dan Malaysian Indian Blueprint bukan racist tetapi adalah sebaliknya iaitu ianya adalah anti-racist.

30.    Dasar tindakan afirmatif diwujudkan untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosio-ekonomi kaum akibat daripada diskriminasi kaum dan racism dalam masyarakat. Dalam sejarah, pejuang-pejuangyang memperjuangkandasar tindakan afirmatif adalah seperti Presiden John F. Kennedy dan Dr Martin Luther King Jr di Amerika Syarikat dan Presiden Mandela di Afrika Selatan. Tokoh-tokoh ini bukan racist, malah jauh sekali, mereka menentang racism. Tanpa dasar tindakan afirmatif, masalah diskriminasi dan racism akan menjadi lebih teruk lagi.Dahulu saya pernah berkata, di sesetengah perkara “Equal treatment policy can create unequal society”, atau dasar yang pukul rata akan menghasilkan masyarakat yang tidak samarata. Ini adalah kerana latarbelakang, persepsi dan tindakan masyarakat terhadap sesuatu kaum adalah berbeza-beza dan tidak sama. Jika tiada dasar intevensi kaum atau dasar tindakan afirmatif untuk memperbetulkan keadaan ini, masalah racism dan diskriminasi dalam masyarakat akan menjadi lebih ketara. Masalah ini perlu diperbetulkan melalui dasar intervensi atau tindakan afirmatif kerajaan.Dasar ini perlu diteruskan kepada kumpulan etnik dan setiap kaum yang memerlukan.

31.    Dasar tindakan afirmatif berdasarkan kaum adalah tidak bersalah, dan ianya perlu diteruskan selagi adanya prejudis dan bias dalam masyarakat yang menyebabkan diskriminasi yang signifikan yang perlu diperbetulkan. Dari segi moral dasar ini perlu malah ianya sesuatu yang penting. Apa yang salah selama ini ialah cara perlaksanaannya iaitu cara kroni-kapitalisme ala Dr Mahathir. Ini yang telah merosakkan dan menjadi wabak penyebab penyakit politik wang. Ini yang perlu dibuang. Bukannya dasar tindakan afirmatif itu sendiri.Oleh sebab itu satu lagi agenda saya dalam UMNO ialah mengekalkan dasar tindakan afirmatifdan menentang kroni-kapitalismeala Dr Mahathir.

Malaysian MalaysiaDAP dan Asimilasi Kaum
32.    Dalam masyarakat majmuk, terdapat dua cara utama untuk membina perpaduan negara iaitu melalui asimilasi kaumdan satu lagi ialah melalui integrasi kaum. Konsep asimilasi bermaksud setiap kaum meninggalkan adat resam dan budaya asal mereka dan mengambil adat resam dan budaya kaum majoriti di sesebuah negara untuk kesamaan bangsa. Ini berlaku di Singapura.Dengan integrasi kaum pula, setiap kaum dapat terus mengamalkan cara hidup dan adat resam mereka sendiri dan bekerjasama dengan kaum-kaum lain untuk membina negara.

33.    Masyarakat Malaysia dan di dunia rata-rata masih tinggal dan hidup bersama komuniti etnik mereka sendiri. Di Malaysia setiap komuniti kaum mempunyai masalah mereka sendiri yang berbeza-beza. Orang Melayu mempunyai masalah berkenaan orang Melayu dan agama Islam, orang Cina dengan masalah orang Cina seperti pengekalan adat resam dan budaya Cina termasuk sekolah dan bahasa Cina, dan orang India dengan masalah orang India seperti pengekalan adat resam dan budaya India termasuk sekolah dan bahasa Tamil.

34.    Biarlah UMNO memperjuangkan nasib bangsa Melayu, MCA memperjuangkan nasib bangsa Cina dan MIC memperjuangkan nasib bangsa India. Dan kita sama-sama memperjuangkan nasib semua kaum dalam Barisan Nasional. Sebab itu dalam Kerajaan Barisan Nasional dahulu, kita bukan sahaja ada dasar ekonomi Bumiputera, kita juga ada Malaysian Indian Blueprint untuk menangani masalah kaum India dan memperkasa ekonomi mereka. Selama ini MCA dan MIC pun lantang memperjuangkan Bahasa ibunda dan sekolah Cina dan Tamil. Mereka boleh berbuat begitu sebab adanya parti dan organisasi berasaskan kaum.

35.    Selama 61 tahun selepas Merdeka, Kerajaan Barisan Nasional (dahulunya Perikatan) mengamalkan dasar integrasi dan bukan asimilasi. Namun kini Kerajaan Pakatan melaungkan slogan Malaysian Malaysia. Laungan ini pertama kali dibawa dan dilaungkan 50 tahun dahulu oleh Lee Kuan Yew di Singapura sebelum Singapura keluar dari Malaysia. Kini Malaysian Malaysia ini dilaungkan semula dengan lebih lantang di Malaysia. Dasar Malaysian Malaysiayang dilaungkan kini adalah ala dasar asimilasi yang dilaksanakan di Singapura selepas ia keluar dari Malaysia pada tahun 1965 sehingga kini. Jika kita mengamalkan asimilasi Malaysian Malaysia, maka adalah sukaruntuk sesuatu parti atau pihak untukmembawa dan memperjuangkan masalah kaum mereka, dan Kerajaan juga tidak boleh melaksanakan dasar intervensi kaum untuk memperbetulkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi kaum yang disebabkan oleh prejudis, bias dan diskriminasi kaum. Jika ini berlaku maka masalah kaum di Malaysia akan menjadi lebih tersirat, terbuku di hati dan parah. Kita tidak mahu perkara ini berlaku.

36.    Dalam sejarah, asimilasi telah dilaksanakan di banyak negara di seluruh dunia untuk memaksa golongan minoriti meninggalkan identiti kaum mereka dan mengambil cara hidup golongan majoriti. Ini berlaku di Amerika Syarikat pada kurun ke-18 dan 19 apabila hamba-hamba abdi daripada Afrika dipaksa menukar nama dan agama mereka kepada nama dan agama Kristian mengikut cara hidup penduduk majoriti kulit putih di Amerika.

37.    Dalam sejarah, asimilasi juga berlaku di negara China semasa zaman Maharaja dahulu kala. Pada ketika itu, tujuan utama asimilasi adalah untuk menghampuskan pemberontakan. Kebanyakan pemberontakan berlaku apabila kumpulan-kumpulan etnik dan agama berkumpul dan merancang sesama mereka untuk menentang kuasa Maharaja. Dengan asimilasi, identiti kaum disamakan dan tiada lagi kumpulan etnik. Apabila identiti mereka dineutralkan, ini menyukarkan kumpulan-kumpulan etnik daripada menjadi teratur dan merancang pemberontakan terhadap kuasa Maharaja.

38.    Semasa merdeka dan pembentukan Malaysia, pemimpin-pemimpin pada ketika itu memilih untuk tidak meng-asimilasi kaum tetapi untuk kaum-kaum terus mengamalkan cara hidup dan adat resam budaya mereka melalui integrasi.

39.    Jika pada masa itu kita membuat keputusan untuk asimilasi dan bukannya integrasi, maka mungkin semua kaum minoriti rakyat Malaysia perlu meninggalkan budaya asal dan menukar nama mereka kepada nama tempatan atau nama Islam iaitu budaya majoriti Melayu di Malaysia seperti yang berlaku di negara jiran. 

40.    Namun dengan asimilasi, masalah diskriminasi kaum akan menjadi lebih teruk dan tidak banyak yang boleh kita lakukan di peringkat dasar dan Kerajaan untuk memperbetulkannya seperti yang berlaku di banyak negara lain.

41.    Sebaliknya dengan integrasi kaum yang diamalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, kita bukan sahaja memperjuangkan kaum Melayu, malah kita memperjuangkan nasib semua kaum dan bertoleransi. Kita tidak perlu meninggalkan budaya kita untuk maju ke hadapan. Kita boleh maju dengan membawa adat resam dan kepelbagaian budaya kita. Kita mahu perjuangkan diversiti atau kepelbagaian kaum dan pengekalan identiti, bukannya asimilasi atau kesamaan bangsa secara pukul rata.

42.    Asimilasiakan menerukkan masalah diskriminasi dan racism kerana tindakan korektif atau pembetulan serius dan siknifikan tidak dapat dilaksanakan. Ini adalah kerana di bawah asimilasi dan kesamaan bangsa, dasar-dasar kerajaan tidak boleh dibuat berdasarkan kaum. Dan dari segi perlaksanaan juga, ianya sukar dilakukan kerana tiada pendaftaran mengikut identiti kaum dan kekurangan statistik sosio-ekonomi mengikut etnik. Atas sebab-sebab di ataslah percubaan kerajaan Amerika selama ini untuk memperbetulkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi dan masalah diskriminasi kaum di Amerika Syarikat masih gagal.


Masalah Tokenisme dan Diskriminasi

43.    Dalam masyarakat majmuk, asimilasi juga membawa masalah yang serius iaitu “tokenisme”. Di sebalik topeng kesamarataan, wujud masalah tokenisme yang menerukkan masalah diskriminasi. Tokenisme ialah apabila sesuatu kumpulanmenerima atau menjemput masuk seorang atau segelintir orang yang tidak sama dengan kumpulan mereka untuk mewujudkan persepsi bahawa kumpulan mereka adalah inklusif dan kononnyaterbuka dan pelbagai.

44.    Dalam konteks kaum, apabila sesuatu kumpulan tertentu yang terdiri daripada satu kaum menerima atau menjemput masuk seorang dua atau segelintir orang dari kaum lain untuk menunjukkan kumpulan mereka itu tidak racist, ianya adalah tokenisme. Isu dalam tokenisme ini ialah orang yang dijemputmasuk ini akan digunakan sebagai topeng atau camouflage untuk menunjukkan kumpulan ini tidak racist namun hakikat di sebalik topeng ini mereka lebih teruk mengamalkan racism.

45.    Banyak parti-parti politik yang kononnya tidak berasaskan kaum mengamalkan tokenisme ini untuk menunjukkan meraka kononnya terbuka kepada pelbagai bangsaatau multiracial dan bukan racist namun hakikatnya adalah sebaliknya. Dalam perniagaaan dan sektor swasta juga perkara ini berlaku. Di satu negara jiran, mereka telah melantik seorang wanita Melayu untuk menjadi Presiden untuk menunjukkan yang mereka tidak racist. Namun mereka malu untuk mengetengahkan dan memperkenalkan beliau baru-baru ini apabila Presiden Amerika Syarikat datang ke Singapura.


Meritokrasi yang TidakAdil

46.    Kerajaan Pakatan juga sering melaungkan meritokrasi. Namun meritokrasi tidak semestinya adil. Dan dalam banyak perkara, walaupun dasar ini di atas permukaan nampak adil namun sebenarnya ianya tidak adil apabila dilaksanakan. Dalam perlaksanaan, akibat kepelbagaian kes masyarakat, meritokrasi rata-rata dilaksanakan secara pukul rata mengikut kriteria umum yang ditentukan oleh pembuat dasar.

47.    Sebagai contoh, jika seorang anak orang kaya yang tinggal di bandar dengan segala kemudahan yang ada mendapat 9A dalam SPM memohon satu biasiswa dan ia bersaing dengan seorang anak orang miskin dari kampung pedalaman yang mendapat 8A 1B, mengikut meritokrasi anak orang kaya itu lebih berhak mendapat biasiswa berbanding anak orang miskin tersebut yang mendapat kurang 1A.Namun kedua-dua mereka mempunyai kemudahan dan latarbelakang yang berbeza yang menyebabkan peluang yang tidak sama rata kepada setiap seorang daripada mereka.Anak orang miskin tersebut lebih memerlukan biasiswa dan mendapat 8A dengan latarbelakang yang lebih sukar. Dan jika beliau mendapat biasiswa, ianya akan dapat mengubah nasib keluarganya dengan lebih besar berbanding anak orang kaya tersebut, dan dengan ini sedikit demi sedikit dapat mengeluarkan lebih ramai orang dari kepompong kemiskinan 40 peratus terbawah (B40) kepada kelompok berpendapatan lebih tinggi iaitu 40 peratus pertengahan (M40) dan ke atas. Namun di bawah meritokrasi pukul rata, anak orang miskin tersebut tidak akan dapat biasiswa.

48.    Sebab itu sebelum ini saya pernah berkata bahawa meritokrasi secara pukul rata adalah tidak adil dan akan menyebabkan yang kaya menjadi lebih kaya dan yang miskin menjadi semakin miskin atau tinggal di takuk lama. Ini menyebabkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi dan inequity dalam masyarakat. Ini tidak baik untuk masyarakat dan negara.

49.    Saya sebaliknya akan memilih anak orang miskin tersebut walaupun dia mendapat kurang 1A dan bukannya anak orang kaya yang mendapat 9A yang mendapat biasiswa mengikut meritokrasi seperti di atas. Kaedah pilihan saya adalah kaedah keadilan sosial yang bersandarkan keperluan, dan latar belakang di samping merit. Ini lebih menyeluruh dan adil. Saya memperjuangkan kaedah keadilan sosial dan bukan meritokrasi pukul rata.

50.    Meritokrasi juga terdedah kepada ketidakadilan dan salahguna iaitu apabila kriteria yang digunakan untuk menanda aras merit adalah tidak adil atau digunakan untuk agenda tertentu. Contohnya penggunaan Bahasa Inggeris sebagai kriteria kenaikan pangkat penjawat awam.Baru-baru ini YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menyatakan bahawa kemahiran berbahasa Inggeris akan dijadikan kriteria kenaikan pangkat penjawat-penjawat awam. Saya fasih berbahasa Inggeris, namun saya tidak bersetuju dengan dasar ini. Kita tidak boleh jadikan kefasihan berbahasa Inggeris sebagai penanda aras untuk kompetensi dan kenaikan pangkat. Kefasihan berbahasa Inggeris dan kecekapan mentadbir bukanlah sinonim dan berkadar terus. Orang yang fasih berbahasa Inggeris tidak semestinya kompeten dan orang yang tidak fasih tidak semestinya tidak kompeten.

51.    Saya lama juga berkhidmat dengan Kerajaan. Ramai pegawai-pegawai Kerajaan yang tidak fasih berbahasa Inggeris, namun mereka amat cekap melaksanakan tugas. Adalah tidak adil kepada mereka jika kita menanda aras kompetensi mereka berdasarkan kemahiran berbahasa Inggeris. Ini satu lagi bentuk opresi yang menggunakan kefasihan berbahasa Inggeris untuk menidakkan orang-orang Melayu. Dalam sektor swasta, ramai orang Melayu ditidakkan peluang pekerjaan atas alasan mereka tidak fasih berbahasa Inggeris. Kini perkara ini melarat pula di sektor awam. Lebih ramailah orang Melayu akan terkesan akibat daripada dasar ini. Saya pernah tinggal di luar negara selama 8 tahun dan pernah bersaing di universiti yang paling kompetitif di dunia. Orang putih atau orang bukan Melayu yang fasih berbahasa Inggeris pun tidak semestinya pandai atau cekap.

52.    Kita sepatutnya memperkasakan Bahasa Melayu dalam Kerajaan sebab ianya adalah Bahasa Kebangsaan dan tanda identiti negara kita, dan bukannya menidakkan peluang orang Melayu yang cekap mentadbir hanya kerana mereka tidak fasih berbahasa Inggeris. Tidak salah membuat sesuatu dasar untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, namun ianya tidak patut dijadikan halangan dan kekangan.
Republik dan Penghapusan Institusi Raja-raja Melayu

53.    Saya tidak bersetuju jika negara ini bertukar menjadi Republik dan menghapuskan institusi Raja-raja Melayu seperti yang dikiaskan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan. Ini bukanlah kerana saya percaya kepada konsep “Divine Rights”atau hak kurnia dari langit kepada raja-raja seperti yang dihujah selama beratus tahun oleh ahli falsafah dan ahli politik Barat yang menyokong kerajaan monarki dahulu sebagai justifikasi moral kepada institusi ber-Raja. Kini mereka sendiri tidaklagi percaya kepada konsep Divine Rightsini, namun mereka masih mengekalkan kerajaan monarki ber-Parlimen seperti di England, seperti juga kita di Malaysia.

54.    Pada hemat saya, ada dua sebabmengapa institusi ber-Raja di Malaysia perlu dikekalkan. Sebab pertamaialah kontinuiti atau kesinambungan budaya, adab resam dan cara hidup. Kerajaan dan dasar boleh bertukar setiap lima tahun, namun ada beberapa perkara perlu dikekalkan untuk kestabilan dan kesinambungan identiti, budaya dan cara hidup masyarakat di negara ini.

55.    Budaya dan cara hidup majoriti rakyat di negara ini sejak berkurun lamanya adalah cara hidup budaya Melayu dan Islam. Ini adalah identiti negara Malaysia. Institusi Raja-raja adalah penting sebagai pelindung dan pengekal identiti dan cara hidup ini walaupun Kerajaan bertukar ganti di Parlimendan Putrajaya setiap lima tahun. Jika kita hilang identiti ini, maka cara hidup, adab dan budaya kita mungkin akan hilang ditelan zaman.

56.    Budaya dan cara hidup Melayu dan Islam di negara ini perlu dikekalkan dan dilindungi kerana ianya adalah teras dan asas kepada pegangan moral, adab, kesopanan dan kesusilaan (decency) majoriti masyarakat Malaysia. Tanpa asas moral atau agama yang kuat, maka kesusilaan (decency) dan adab masyarakat kita akan menjadi lemah. Sebab itu pengekalan identiti budaya, adabresam dan cara hidup ini adalah penting. Saya tidak mahu anak-anak saya tinggal dalam satu masyarakat yang tidak bertatasusila (indecent), tiada pegangan moral yang kuat dan tidak beradab.

57.    Sebab kedua mengapa institusi Raja-raja Melayu ini penting ialah sebagai satu institusi semak imbang terakhir kepada kuasa Kerajaan dan Perdana Menteri.Walaupun sistem Republik tanpa institusi ber-Raja akan mewujudkan sistem demokrasi total dengan kuasa rakyat, namun paradoksnya, sejarah telah membuktikan di serata dunia bahawa sistem demokrasi adalah terdedah kepada salahguna kuasa dan korupsi serta pemerintahan diktator akibat daripada pemusatan kuasa yang mudah dibuat dengan memanipulasi pendapat awam.Sesuatu yang populist tidak semestinya baik untuk rakyat dan negara, dan ada kalanya berbahaya.

58.    Sebagai contoh, demokrasilah yang telah memilih Hitler dalam pilihanraya negara Jerman sebagai pemimpin mereka pada awal abad ke-20. Demokrasi juga telah memilih Slobodan Milosevic sebagai Presiden yang telah menghasut majoriti rakyat Yugoslavia berbangsa Serbia untuk membunuh etnik minoriti Bosnia dalam penghapusan etnik pada awal tahun 1990an. Dan demokrasi jugayang tidak mampu untuk menghalang pembunuhan etnik beramai-ramai di Rwanda pada tahun 1994 dan telah menerukkan lagi keadaan apabila majoriti etnik Hutu yang menguasai Kerajaan melalui pilihanraya membunuh satu juta etnik minoriti Tutsi.

59.    Saya bukan anti-demokrasi, malah saya adalah seorang yang pro-demokrasi. Sistem demokrasi adalah baik dan sehingga kini tiada sistem politik lain yang lebih baik daripada sistem demokrasi. Namun demokrasi ini perlu disemak imbang kerana ianya tidak sempurnadan pernah mengakibatkan tragedi seperti tragedi-tragedi dalam sejarah di seluruh dunia seperti di atas. Kadang-kadang untuk mempertahankan demokrasi kita perlu melindungi demokrasi daripada dirinya sendiri.

60.    Walaupun ada Parlimen dan Mahkamah untuk semak imbang Kerajaan, namun jika Parlimen dikuasai wakil rakyat Kerajaan dengan kuat, maka ianya tidak akan berjaya menyemak imbang Kerajaan dan Perdana Menteri. Dan sejarah juga pernah membuktikan yang Mahkamah juga pernah terdedah kepada pengaruh kuasa Perdana Menteri. Dan Mahkamah juga pernah menjadi asbab tragedi. Contohnya di Rwanda pada tahun 1994, bermulanya pembunuhan beramai-ramai etnik Tutsi oleh etnik majoriti Hutu adalah apabila seorang hakim mahkamah menuduh kaumetnik Tutsi yang membunuh Presiden Rwanda berbangsa Hutu yang mati akibat tembakan roket kepada helikopter yang dinaikinya.

61.    Sebab itu institusi Raja-raja di Malaysia ini adalah penting. Sebagai semak dan imbang terakhir Kerajaan untuk rakyat dan negarasetelah institusi-institusi lain seperti Parlimen dan Mahkamah tidak berjaya.

62.    UMNO perlu kekal sebagai parti Melayu untuk memperjuangkan rintihan orang-orang Melayu supaya tidak terus disisih, dipinggir dan ditinggalkan. Jika UMNO bukan lagi parti Melayu, siapa yang akan memperjuangkan nasib orang-orang Melayu? Jika suatu masyarakat majoriti dipinggir dan mundur, negara tidak akan stabil dan maju. Sebab itu juga institusi Raja-raja Melayu adalah penting dan perlu. Untuk memastikan orang-orang Melayu tidak terpinggir di tanah sendiri. Bapa-bapa Kemerdekaan kita dahulu telah nampak perkara ini. Sebab itu mereka maktubkan perkara ini dalam Perlembagaan. 

63.    Saya adalah seorang yang progresif. Saya percaya bahawa asimilasi, meritokrasi secara pukul rata,pembatalan dasar intervensi kaum dan penghapusan institusi Raja-raja Melayuyang dibawa oleh Kerajaan Pakatan kini adalah idea-idea dasar yang dangkal dan superfisial, dan adalah suatu arah yang salah dan bahaya yangakan membawa keburukan kepada negara dan rakyat Malaysia. Dasar-dasar dan cadangan-cadangan ini adalah ancaman yang lebih hebatkepada orang-orang Melayudan negarakini daripada ancaman Malayan Unionkepada orang Melayu dan negarapada tahun 1946 semasa penubuhan UMNO dahulu.

64.    Sebab itu UMNO kini perlu kekal sebagai parti Melayu untuk memperjuangkan nasib orang-orang Melayu di saat kritikal ini, dan untuk menentang dasar-dasar yang mengancam hak dan kepentingan orang-orang Melayu yang membawa keburukan kepada negara dan tanahair.


BAB 3
Halatuju Ekonomi, Hutang Negara, 1MDB, GST, dan Dato’ Sri Najib

65.    Saya lihat keadaan ekonomi negara kita tiba-tiba menjadi dari baik kepada teruk. Kalau sehingga dua bulan lepas sebelum 9 Mei 2018 pelabur minat masuk melabur ke Malaysia, kini tiba-tiba selepas Kerajaan Pakatan mengambil alih,para pelabur berjemaah tinggalkan pasaran Malaysia sehingga negara kehilangan modal pelaburan berbillion-billion Ringgit dalam tempoh hanya beberapa minggu kerana hilang keyakinan kepada Kerajaan untuk mentadbir ekonomi negara. Kalau sehingga dua bulan lepas Kerajaan tidak pernah perlu buang orang kerja beramai-ramai namun merancang lagi untuk mewujudkan 3 juta peluang pekerjaan termasuk mengambil beratus ribu graduan bekerja di bawah SL1M, kini tiba-tiba berpuluh-puluh ribu orang penjawat awam telah diberhentikan kerja oleh Kerajaan Pakatan. Mereka merancang untuk buang lebih ramai lagi. Kalau sehingga dua bulan lepas Kerajaan boleh menambah BR1M kepada lebih ramai golongan yang memerlukan kerana keadaan kewangan Kerajaan yang kukuh, kini tiba-tiba BR1M mahu dikurang dan dikecilkan bilangan penerima oleh Kerajaan Pakatan atas alasan hutang negara yang dikira dan dimanipulasi ikut suka.

66.    Dalam pengiraan hutang negara, kita perlu ikut piawaian antarabangsa dan bukannya ikut selera kepentingan politik. Tiada negara di dunia ini yang mengira hutang negara cara Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng. Pada hemat saya, Kerajaan Pakatan sengaja mengira hutang sebegini sebagai alasan untuk tidak menunaikan janji-janji pilihanraya mereka kepada rakyat.

67.    YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berkata berpuluh ribu orang penjawat awam itu memang patut diberhentikan. YB Menteri Kewangan Lim Guan Eng pula berkata beliau tidak tahu berbillion pelaburan sudah keluar dari Malaysia. YB Pegawai Khas Menteri Kewangan Tony Pua pula beri alasan pasaran saham jatuh sebab faktor luaran dan bukan salah mereka. Saya musykil bagaimana beliau boleh percaya kenyataan beliau sendiri apabila hakikatnya pasaran-pasaran saham di negara lain pada dua tiga minggu ini menunjukkan trend peningkatan sedangkan di Malaysia sahaja ianya merudum dan modal ditarik keluar secara pukal oleh pelabur asing.

68.    GST telah dikosongkan, namun harga barang tetap melambung naik. Harga minyak pun dinaikkan juga sehingga 19 sen seliter. Sekurang-kurangnya dahulu orang masih ada kerja dan bantuan BR1M juga ditingkatkan untuk menampung perbelanjaan golongan yang memerlukan.

69.    Perdana Menteri dan Menteri-menteri sibuk ingin bongkar skandal sensasi kerajaan dahulu, namun seolah lupa untukmembuat kerja sebagai Kerajaan sekarang untuk tangani masalah rakyat hari ini. Jika rakyat tiada kerja untuk makan, mereka tidak boleh tunggu 100 hari.Dalam 40 hari semua ini telah berlaku sekelip mata. Jika tunggu 100 hari, saya tidak tahu apa lagi akan jadi.

70.    Jika begini trendnya, ekonomi negara akan menjadi lingkup dan lebih ramai orang akan hilang kerja di Kerajaan mahupun swasta. Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa bertanggungjawab untuk menegur. Oleh sebab ini, saya ingin jemput YB Menteri Kewangan Tuan Lim Guan Eng atau Pegawai Khas beliau YB Tony Pua untuk berdialog dengan saya secara terbuka berkenaan ekonomi dan kewangan negara termasuklah hutang negara.

71.    Ramai orang bertanya kepada saya mengapa saya tidak menegur Dato’ Seri Najib berkenaan isu 1MDB yang menjadi salah satu punca kekalahan Kerajaan Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lepas. Secara jujur ada dua perkara dalam hal ini. Pertama, sebagai seorang Political Economistdi Pejabat Perdana Menteri portfolio saya adalah membantu Perdana Menteri dalam urusan dasar-dasar ekonomi dan sosio-politik negara danKerajaan. 1MDB tidak termasuk dalam portfolio saya.

72.    Perkara kedua, siasatan ke atasDato’ Sri Najib telah dilakukan oleh pelbagai pihak dari dalam dan luar negarasejak lebih lima tahun yang lalu yang menunjukkan tidak ada kesalahan jenayah di pihaknya. Memang ada kelemahan pengurusan korporat yang diakui beliau sendiri dan diperbaiki. Siasatan ke atas beliau masih lagi berjalan. Namun Kerajaan kini seolah-olah telahpun membuat keputusan bahawa beliau telah bersalah dan mencuba sedaya upaya untuk mensabitkan kesalahan kepada beliau. Ini termasuklah YAB Perdana Menteri dan Ketua Pengarah SPRM yang membuat kenyataan tidak professional dan beremosi terhadap Dato’ Seri Najib sebelum siasatan dijalankan. Sebab itu sebelum ini saya telah menggesa supaya Ketua Pengarah SPRM mengundurkan diri dari kes ini. Sebab beliau telah prejudis kepada Dato’ Seri Najib pada awal siasatan. Jika kita dituduh melakukan sesuatu jenayah, kita mahu orang yang menyiasat atau menghakimi kita itu adil dan professional, dan bukannya prejudis dan menganggap kita bersalah sebelum tamat siasatan apatah lagi pada awalnya. Lebih teruk jika ianya berlaku sebelum siasatan bermula.

73.    Setiap rakyat mestilah diadili seadil mungkin dan dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan bukan sebaliknya.Jika bekas Perdana Menteripun boleh diperlakukan sebegini rupa, apakan lagi rakyat marhaen yang lain. Kita tidak mahu sesiapapun teraniaya.

74.    Jika Dato’ Sri Najib disabitkan kesalahan dengan “bukti” yang lemah atau direkacipta, maka beliau akan menjadi seorang lagi mangsa aniaya akibat dendam politik Tun Dr Mahathir. Jika beliau dianiaya dek kerana dendam oleh sesetengah pihak, maka ingatlah tiada hijab di antara doa orang yang teraniaya dengan Allah SWT. Saya mendoakan yang terbaik kepada Dato’ Seri Najib dan keluarganya. 

75.    Saya berkerja rapat dengan Dato’ Seri Najib selama lima tahun sejak tahun 2013. Beliau adalah seorang pemimpin dan manusia yang amat baik sekali. Beliau seorang yang mempunyai hati yang mulia, suka membantu orang di semua peringkat kehidupan dan tidak boleh tengok orang susah.Beliau telah membantu ramai orang dan banyak berjasa kepada negara. Beliau juga berani melaksanakan dasar-dasar yang betul yang sukar yang tiada pemimpin sebelumnya berani mengambil risiko. Dalam satu perbincangan semasa membincangkan berkenaan GST pada peringkat perancangan, saya pernah berkata kepada beliau: “Sir, this is very difficult to sell to the public(Sir, ini adalah sesuatu yang sukar untuk membuat rakyat terima)”. Beliau berkata kepada saya: “Isham, yes this is difficult. But it is the right thing to do for the country. And the right thing to do is always difficult(Isham, memang ini adalah sesuatu yang sukar. Namun ianya adalah sesuatu yang betul untuk kepentingan negara. Dan membuat sesuatu yang betul itu biasanya sukar).

KESIMPULAN DAN AKHIR KATA

76.    Kini kita telah menjadi pembangkang. Sebagai pembangkang, demi kepentingan rakyat, kita perlu menjadi satu pembangkang yang kuat dan berani. Kita perlu berani dan tidak perlu takut untuk memperjuangkan hak kita di saat orang lain lantang memperjuangkan hak mereka dan mempertikaikan pula hak kita. Jika kita bersih dan ikhlas dalam perjuangan, kita tidak perlu takut untuk bersuara membangkang Kerajaan sebagai semak imbang demi rakyat.

77.    Namun untuk menewaskan Kerajaan Pakatan hari ini, kita tidak boleh mengalahkan mereka dengan wang Ringgit. Sebaliknya, untuk mengukuhkan UMNO di saat getir ini dan menewaskan Kerajaan Pakatan, kita perlu dua perkara penting iaitu pertama idea dan hujah yang bernas dalam membawa isu-isu dan permasalahan rakyat. Dan kedua ialah semangat juang yang kental. Jika kita bergantung kepada sumber kewangan untuk menang, maka kita tidak akan berjaya menewaskan mereka kini. Dan jika wang menguasai parti, maka parti kita akan menjadi korup dan lemah dan tidak akan bertahan lama.

78.    Untuk pemilihan UMNO kali ini, saya ingin menawarkan aset utama saya kepada parti. Ianya adalah idea, pengetahuan dan semangat juang UMNO yang tulen dan ikhlas.

79.    Oleh itu, sebagai langkah pertama saya dalam menyumbang ke arah pengukuhan UMNO dan tanda komitmen saya kepada kepercayaan saya di atas, saya dengan rendah diri akan bertanding pada pemilihan ini tanpa menggunakan politik wang tetapi hanya dengan menggunakan idea dan semangat juang.

80.    Jika tuan-tuan dan puan-puan memberikan sokongan kepada saya dan dengan sokongan tuan-tuan dan puan-puan ini saya menang, maka kita sama-sama boleh buktikan bahawa sesiapa sahaja yang mempunyai idea yang baik dan semangat juang dalam parti berpeluang untuk maju dalam hirarki parti. Ini adalah petanda bahawa UMNO masih boleh diselamatkan dan boleh kembali kepada perjuangan asal ketika penubuhan parti 72 tahun dahulu yang kuat dengan hanya berbekalkan idea yang bernas dan semangat juang yang kental.

81.    Saya memohon sokongan daripada tuan-tuan dan puan-puan untuk perjuangan ini untuk mengukuhkan parti. Saya yakin jika kita istiqamah, kita akan berjaya.




Penulis merupakan bekas Pegawai Khas kepada Datuk Seri Najib Razak.



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment