Imigresen Tahan Wanita Asing Tawar Urut Maksiat B2B | KAKI PALU

Imigresen Tahan Wanita Asing Tawar Urut Maksiat B2B

Share on Google Plus


PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 12 wanita warga asing yang bekerja sebagai tukang urut menawarkan perkhidmatan urut badan ke badan (B2B) di dua premis rumah urut di Kuala Lumpur semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata dua lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai penyelia di premis tersebut turut ditahan dalam operasi penguatkuasaan Ops Gegar di kawasan Klang Lama, melibatkan para pegawai dari Unit Operasi Khas, Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa Ibu Pejabat Putrajaya pada 5 petang semalam.

“Dua lelaki itu pernah ditahan melakukan kegiatan yang sama sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung operasi itu.

Mustafar berkata dua premis itu yang disyaki menjalankan aktiviti maksiat dan tidak bermoral melibatkan wanita warga asing pernah diperiksa dan pekerjanya ditahan namun beroperasi semula dan menawarkan khidmat urutan B2B.

Daripada 12 wanita warga asing itu, sembilan adalah warga Filipina dan masing-masing satu dari Vietnam, Thailand dan China.

Semasa pemeriksaan itu, aktiviti urutan itu giat dijalankan di bilik-bilik urut di tingkat dua yang dilengkapi dengan bilik mandi dan juga katil air untuk menarik perhatian pelanggan.

“Pelanggan juga diberi pilihan untuk mendapatkan urutan B2B di atas katil biasa ataupun waterbed,” katanya.

Menurut Mustafar, majikan premis itu mempunyai akaun ‘WeChat’ untuk memudahkan pelanggan membuat pilihan dan tempahan awal atas talian tanpa menghadirkan diri ke premis tersebut bagi tujuan pemilihan wanita mengikut nombor badan atau nama samaran.

“Premis tersebut menawarkan perkhidmatan urutan B2B dengan harga RM160 di mana RM70 akan diambil oleh majikan dan selebihnya RM90 merupakan “tips” untuk wanita warganegara asing bagi setiap langganan,” katanya.

Mustafar berkata sebanyak enam notis untuk hadir memberi keterangan kepada pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan dilakukan bagi membantu siasatan lanjut.

Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa serta lain-lain kesalahan dibawah Akta Imigresen. Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya.

Kesemua mereka akan disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, katanya.

“JIM akan sentiasa melakukan operasi penguatkuasaan setiap hari dan akan memastikan semua premis-premis yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang diambil tindakan terutamanya yang melakukan aktiviti tidak bermoral serta mencemarkan kesucian bulan Ramadhan,” katanya. – BERNAMA



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment