"Kami Mahu MRT3" | KAKI PALU

"Kami Mahu MRT3"

Share on Google Plus




KERAJAAN diminta mempertimbang semula keputusan membatalkan projek Laluan 3 Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT3) kerana ia projek yang memberi manfaat kepada rakyat, kata pelbagai pihak.

Shalida Abu Hasan, 40, pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta berpendapat, MRT3 perlu diteruskan memandangkan perkhidmatannya sangat diperlukan bagi memudahkan pergerakan orang awam di Lembah Klang.

“Tetapi jika kewangan negara masih belum berada dalam keadaan stabil, lebih baik jika ditangguhkan buat sementara waktu. Saya sebagai pengguna harian MRT merasakan ia memang menyenangkan saya untuk ke mana-mana khususnya ke kawasan Kuala Lumpur dan sekitarnya,” katanya kepada BERNAMA, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan kerajaan membatalkan projek tersebut atas faktor kos projek amat tinggi, dilaporkan akan memakan belanja hingga RM40 bilion.

Pegawai bank, Tan Chee Hoon, 40, yang berkongsi pandangan sama berkata, dia memahami keputusan kerajaan membatalkan projek pengangkutan awam itu, namun berharap ia dapat dipertimbangkan semula demi keperluan rakyat.

“Status kewangan negara kita masih belum mampu untuk jalankan projek besar seperti MRT3 dan kita perlu biarkan kerajaan fokus selesaikan segala hutang dahulu,” katanya.

Yusof Muhammad, 53, juga tidak bersetuju jika projek itu terus dibatalkan tanpa kajian terperinci dilakukan.

Dia berpendapat kerajaan perlu menangguhkan projek itu dahulu dan menjalankan kajian terhadap jumlah penumpang bagi MRT1 dan MRT2, sama ada projek tersebut menepati matlamat atau tidak.

“Jika kedua-dua jenis laluan MRT ini menepati sasaran jumlah penumpang, barulah boleh dikaji semula kesesuaian pelaksanaan MRT3 tapi untuk membatalkannya, saya tidak setuju kerana ia benar-benar membantu rakyat untuk ke mana-mana tanpa perlu memandu kenderaan sendiri,” katanya.

Sementara itu, bagi pengurus acara Tan Zhen Sheng, 23, pula, walaupun dia belum melihat sisi kebaikan dan keburukan pelaksanaan projek MRT3, namun yakin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai sebab yang kukuh untuk membatalkan projek berkenaan.

“Jika ia dibatalkan, mungkin alternatif lain boleh diambil seperti mengurangkan harga tambang pengangkutan awam dan meningkatkan lagi ketepatan masa perkhidmatan awam sedia ada, sama ada bas mahupun tren,” katanya.

Projek MRT3 yang berjarak 40 kilometer dilaporkan akan mempunyai 26 stesen dengan 19 laluan bawah tanah dijadualkan pembinaannya pada 2019, serta dijangka siap pada 2025.



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment