Kerajaan Harus Berhati-Hati Dengan Cadangan Menutup Agensi-Agensi Islam – Pengerusi JMPP | KAKI PALU

Kerajaan Harus Berhati-Hati Dengan Cadangan Menutup Agensi-Agensi Islam – Pengerusi JMPP

Share on Google Plus





Pulau Pinang: “Kita puji semangat untuk mengikut prinsip Rule of Law sebagaimana yang dikatakan Perdana Menteri sebelum ini. Walaubagaimanapun, kita berasa hairan apabila individu-individu dari pertubuhan tidak berdaftar seperti G25 mengeluarkan kenyataan lantang untuk mengkaji semula serta menutup agensi-agensi berkaitan Islam yang ditubuhkan setelah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu. Apa sebenarnya sedang berlaku dalam negara ini?” demikian komentar Pengerusi Jaringan Muslimin Pulau Pinang, Ustaz Mohamed Hafiz bin Mohamed Nordin ketika dihubungi pihak menara.my setelah negara dipanaskan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan G25 kepada media baru-baru ini.

Tawfik Tun Dr Ismail, salah seorang ahli G25 sebelum ini mengeluarkan kenyataan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ditutup serta merta. Ia diikuti pula oleh kenyataan Dato’ Noor Farida Ariffin yang kemudiannya mencadangkan supaya peranan JAKIM dikaji semula dan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) ditutup.

“Perlembagaan Persekutuan secara jelas meletakkan kedudukan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan. Malah Yang Di-Pertuan Agong diwajibkan bersumpah untuk memelihara Islam pada semua masa,” tegas Ustaz Mohamed Hafiz.

Menurut beliau lagi, kewujudan agensi-agensi Islam seperti JAKIM, IKSIM dan lain-lain, kesemuanya tidak ditubuhkan secara sewenang-wenangnya. Ia bertujuan untuk memastikan kedaulatan Islam di dalam negara kekal terpelihara dan sumpah untuk memelihara Islam tersebut dapat direalisasikan dengan berkesan.

Pihak-pihak yang secara sewenang-wenangnya mencadangkan supaya kesemua agensi seperti ini ditutup mungkin berbuat demikian kerana pertembungan ideologi pemikiran.

“Saya melihat satu bentuk pemikiran yang meyakini Malaysia merupakan sebuah negara sekular sedang bangkit di negara ini. Semua yang dilihat sebagai batu penghalang kepada proses pensekularan penuh negara ini, mesti dihapuskan dengan segera. Yang menjadi mangsa awal, tentulah agensi-agensi yang bergerak bagi memenuhi keperluan sumpah Yang Di-Pertuan Agong untuk memelihara Islam pada setiap masa. Jadi menjadi tanggungjawab Perdana Menteri dan Ahli-Ahli Parlimen Islam di dalam kerajaan yang baru ini untuk memastikan semua ini tidak berlaku.”

Ketika ditanyakan kewajaran kenyataan-kenyataan seperti yang dikeluarkan oleh kumpulan G25 tersebut, berikut jawapan beliau, “Semua orang boleh memberikan pendapat masing-masing, tetapi haruslah bersandarkan kepada realiti sebenar bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan. Sesiapa pun boleh mengemukakan cadangan, tetapi pihak pemerintah harus sentiasa beringat bahawa setiap tindak tanduk mereka dinilai oleh rakyat. Dengan hanya mempunyai 49% undi popular, ia tidak bermaksud semua yang menyokong kerajaan sekarang bersetuju dengan tindak tanduk sekumpulan individu atau pertubuhan yang lancang mengkritik Islam, undang-undang Syariah dan kewujudan agensi-agensi Islam. Kerajaan harus berhati-hati dengan cadangan-cadangan dari kumpulan-kumpulan seumpama ini.”



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment