UMNO Perlu Gerakan Revolusi Mental, Kata Faezah Fazal | KAKI PALU

UMNO Perlu Gerakan Revolusi Mental, Kata Faezah Fazal

Share on Google Plus



UMNO memerlukan satu gerakan revolusi mental yang baru mencerna idea untuk menangani cabaran perubahan zaman dalam bidang ekonomi, politik, agama dan pendidikan serta teknologi.

Calon Naib Ketua Puteri UMNO, Nur Faezah Fazal berkata, UMNO akan kembali ke landasannya jika orang muda terus setia dalam parti dan orang lama melalui perubahan serta menerima realiti semasa.

Jelas beliau, antaranya yang penting adalah memanfaatkan teknologi baharu dan media sosial serta melihat konteks peremajaan secara menyeluruh juga bukan semata-mata pada umur.

"Pecahkan tembok pemisah antara parti dan rakyat. Manfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat, khususnya media sosial untuk sentiasa mendekati dan memenangi hati golongan muda.

"Ini adalah tugas utama Puteri, menyakinkan generasi muda agar faham mengapa wadah kita adalah terbaik dan mengapa kita ada agenda transformasi tersendiri melalui media sosial.

"Kita mesti menyiapkan generasi muda. Maknanya kita lebih idealisme daripada soal hendak mendapatkan undi sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nur Faezah, 28 tahun merupakan produk Sekretariat Mahasiswi Nasional (SWiNAS) di bawah naungan Puteri UMNO yang bertanding bagi penggal ini.

Jelasnya, perjuangan suara wanita muda harus bermula dari peringkat akar umbi tanpa mengira latar belakang.

"Pendekatan puteri UMNO perlulah mengikut latar belakang orang yang mereka ingin dekati. Sikap keterbukaan puteri UMNO itu sendiri yang perlu ditekankan bagi mencapai sasaran pada penghujung legasi sebuah kepimpinan.

"Saya yakin dan percaya, sesiapa sahaja yang akan diangkat sebagai Presiden UMNO yang baru nanti pasti akan menyantuni keperluan wanita muda. Ini kerana, jika mahukan lebih ramai penglibatan wanita muda dalam politik maka mereka perlu menyediakan banyak ruang dan peluang kepada tenaga wanita muda ini.

"Saya mahu menjadi penggerak kepada wanita muda mengenai kesedaran celik politik dan hak mengundi. Tetapi pada masa yang sama, wanita muda ini harus memberi balik kepada parti dengan cara meneliti program, polisi dan hala tuju kepimpinan serta cuba mengenal pasti segala kekuatan atau kelemahan dari pandangan mereka," ujarnya.

Katanya lagi, penyertaan aktif anak muda dalam UMNO seharusnya menjadi sesuatu perkara yang harus diraikan dalam menyuntik idea-idea menyegarkan parti.

"Hal ini telah dibuktikan dengan pelbagai gerakan anak muda, gerakan mahasiswa dan desakan golongan ini telah berjaya mempengaruhi kedudukan UMNO dan Barisan Nasional para Pilihan Raya ke-14 baru-baru ini.

"Saya mahu mengimarahkan penglibatan anak muda secara aktif dalam UMNO. Penglibatan golongan ini akan memberi nafas baru dan menjadi magnet untuk meraih keyakinan masyarakat untuk kembali bersama UMNO," jelasnya.


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment