Umum Angka Tidak Tepat, Guan Eng Ada Motif Politik | KAKI PALU

Umum Angka Tidak Tepat, Guan Eng Ada Motif Politik

Share on Google Plus





Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng supaya memberikan angka tepat kerana pasaran kewangan bergantung kepada angka itu sekali gus tidak mengelirukan rakyat.

“Terdahulu, Guan Eng mengkritik pasaran kewangan dengan menyatakan hutang negara adalah RM1 trilion tanpa memberikan butiran.

“Namun selepas pelbagai pihak termasuk saya sendiri mempersoalkan, beliau menjelaskan hutang rasmi kerajaan kekal pada RM686.8 bilion atau 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Beliau mendakwa, tindakan Guan Eng yang memetik pelbagai angka yang tidak tepat adalah bermotif politik.

“Guan Eng terus menegaskan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Singapura-Kuala Lumpur (HSR) yang dibatalkan sekarang ini bernilai RM110 bilion walaupun Singapura dan Malaysia sebelum ini menganggarkan ia akan menelan kos maksimum RM72 bilion termasuk kos pengambilan tanah.

“Beliau mendakwa, angka inflasinya RM110 bilion termasuk kos faedah. Bagaimana angka ini dipetik kerana ia tidak jelas sebagai tender antarabangsa yang memerlukan mereka yang mengambil bahagian untuk mencadangkan pakej pembiayaan mereka hanya ditutup pada Disember 2018,” soalnya.

Katanya, Menteri Kewangan terus mengabaikan permintaan pelbagai pihak untuk mendedahkan kajian perlaksanaan dan ekonomi untuk projek HSR.

“Bagi kepentingan ketelusan, laporan ini harus didedahkan kepada orang ramai untuk menentukan sama ada kepentingan terbaik Malaysia disampaikan dengan membatalkan projek tersebut,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, daripada terus menggunakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai modal politik, Pakatan Harapan (Harapan) harus memastikan pelan rasionalisasi untuk 1MDB diteruskan.

“Fokusnya kini adalah untuk melindungi pertumbuhan ekonomi, pekerjaan dan kestabilan kewangan negara tanpa bermain politik dengan “guesstimates” yang melambung untuk memberi alasan untuk tidak menyampaikan manifesto Harapan mengikut garis masa yang dijanjikan,” katanya.

Semalam, rahsia 'fail merah' yang sebelum ini hanya boleh diakses pihak tertentu terbongkar apabila mengandungi penyelewengan dan skandal membabitkan syarikat 1MDB.

Guan Eng dalam satu wawancara berkata, sebelum ini kesemua fail tersebut tidak boleh diakses kerana kerajaan BN menghalang auditor dan pegawai yang bertanggungjawab untuk menelitinya secara profesional dan integriti.

Pada 22 Mei lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan hutang negara kini sudah mencecah angka lebih RM1 trilion seperti diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengakui bahawa hutang negara kini sudah melebihi RM1 trilion dan ia dalam proses kajian semula, memandangkan angka-angka tertentu masih belum dapat disatukan kerana terdapat beberapa akaun dan fail tertentu tidak dapat diakses.



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment