LGE Digesa Hormati Perlembagaan Malaysia: Tarik Semula Kenyataan Media Dalam Bahasa Mandarin – Tun Hanif Omar | KAKI PALU

LGE Digesa Hormati Perlembagaan Malaysia: Tarik Semula Kenyataan Media Dalam Bahasa Mandarin – Tun Hanif Omar

Share on Google Plus



Kuala Lumpur: Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tun Hanif Omar bersama 50 NGO telah menyerahkan Memorandum Mendaulatkan Bahasa Melayu Dalam Pentadbiran Kerajaan Malaysia kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (LGE) yang diterima oleh Setiausaha Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan, Suhaili Ahmad di kementerian berkenaan.


Himpunan itu adalah anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) bersama beberapa tokoh ternama negara secara aman di hadapan Masjid Putra sejurus selesai solat Jumaat di sini, semalam.


Tun Hanif berkata, peri pentingnya Menteri dan penjawat awam meletakkan kedudukan Bahasa Melayu di tempat utama dalam urusan rasmi kerajaan kerana jelas ia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.


”Janganlah atas nama Malaysia Baharu, semua perkara hendak dihalalkan sehingga sanggup mencabuli prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada kesejahteraan, keharmonian dan perpaduan negara sejak 61 tahun lalu.”


“Tindakan ini juga sama sekali bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menyebutkan ‘Bahasa Kebangsaan Hendaklah Digunakan Bagi Maksud Rasmi’ dan dalam Perkara 152(1) ini umum mengetahui bahawa Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu,” ujarnya.


Bekas Ketua Polis Negara yang turut menyertai himpunan membantah perlakuan Guan Eng itu berkata, perbuatan menggunakan bahasa ibunda negara asing boleh menimbulkan syak wasangka dan boleh memecah-belahkan masyarakat majmuk Malaysia.


Tun Hanif turut menuntut Guan Eng memohon maaf atas perlakuannya menggunakan bahasa selain Bahasa Kebangsaan dan menarik balik kenyataan media dalam bahasa Mandarin itu dalam kenyataan rasmi Kementerian Kewangan yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.


Beliau berkata, perkara itu perlu dilakukan kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengakui perbuatan tersebut sebagai satu kesilapan yang perlu dielakkan oleh kakitangan kerajaan di dalam urusan rasmi negara.


Persoalannya, kenapakah Menteri Kewangan yang baru seolah-olah tidak faham akan praktis yang memperkasakan Bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi atau mungkinkah ada agenda licik lain?


Tun Hanif berkata, sebagai menteri, Guan Eng sepatutnya menjadi contoh kepada kaum bukan Melayu lain dalam memartabatkan penggunaan Bahasa Kebangsaan yang diakui telah menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini dan membentuk perpaduan sedia ada, bukan sebaliknya.


Justeru, beliau berharap perkara seumpama ini tidak berulang lagi selain tidak dicontohi oleh pihak lain yang berkemungkinan mempunyai agenda licik tersendiri.


“Guan Eng sepatutnya lebih peka dan sensitif dalam sebarang tindakannya yang boleh mencetus perbalahan antara kaum di negara ini.”


Jelas beliau, memorandum empat muka surat itu antara lain mengandungi desakan agar Guan Eng menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi pentadbiran kerajaan dan menarik balik semua dokumen yang ditulis dalam bahasa Mandarin.


Memorandum itu turut menuntut Kementerian Kewangan menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi kerajaan, menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan menjadi contoh kepimpinan yang mengutamakan bahasa Melayu.


Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment