Zeti Diminta Bersumpah Tak Tahu RM2.6b Dalam Akaun Najib | KAKI PALU

Zeti Diminta Bersumpah Tak Tahu RM2.6b Dalam Akaun Najib

Share on Google Plus



Ketua Umno Bahagian Batu Pahat Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bersumpah berhubung penafiannya mengetahui tentang RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun Datuk Seri Najib Razak.

Melalui kenyataan media hari ini, Puad juga mempersoalkan sama ada wujud konspirasi untuk menganiayai bekas perdana menteri itu.

"Amat mustahil Zeti tidak tahu bahawa wang berjumlah RM2.6 bilion masuk ke akaun peribadi Najib. Penafian ini menimbulkan persoalan apakah wujud konspirasi di peringkat tertinggi untuk menganiaya Najib.

"Mana mungkin dia sebagai bos Bank Negara tidak tahu atau tidak dimaklumkan oleh pegawai bawahannya. RM2.6 bilion bukan jumlah yang kecil. Tidak manasabah pegawai akan menyembunyikan maklumat daripadanya

"Dan mustahil Wall Street Journal dan Sarawak Report lebih mengetahui mengenainya akibat daripada pembocoran maklumat. Justeru saya menuntut supaya Zeti bersumpah secara terbuka untuk membuat penafian," katanya.

Zeti sebelum ini menafikan kenyataan Najibyang mendakwa bekas gabenor bank negara itu mengetahui RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun peribadi bekas presiden Umno itu.

Zeti juga mendakwa bahawa pada 3 Julai 2015, beliau dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dan diminta oleh Najib untuk mengeluarkan kenyataan bahawa bekas pengerusi BN itu tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung akaunnya itu.

"Saya memaklumkan kepadanya bahawa saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai urusan dalam akaunnya," katanya.

Najib semalam bagaimanapun menegaskan sekali lagi bahawa Zeti tahu tentang pemindahan wang berkenaan.

'Tak layak jadi pengerusi PNB'

Zeti, yang juga merupakan anggota Majlis Penasihat Pakatan Harapan (HARAPAN) pada 2 Julai lalu memulakan tugas sebagai pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) selepas dilantik menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar yang meletakkan jawatan.

Mengulas lanjut, Puad mempertikai kemampuan Zeti mengurus perbankan negara sebelum ini dan menyifatkan beliau tidak layak menjadi pengerusi PNB sekiranya enggan bersumpah.

"Kalau pun dia tidak maklum di awal transaksi mustahil dia tidak boleh mendapatkan maklumat daripada pegawainya selepas transaksi berlaku. Kalau begitu dia adalah tidak cekap mengurus perbankan negara.

"Penafian Zeti menambah keyakinan kepada rakyat bahawa isu RM2.6 bilion kononnya dicuri daripada 1MDB adalah satu konspirasi terancang apatah lagi dalam empat pertuduhan terhadap DS Najib kelmarin (rabu) langsung tidak membabitkan mengenai RM2.6 bilion.

"Kalau Zeti takut bersumpah maka dia tidak layak menjadi Pengerusi PNB yang baru kerana dia akan dituduh menerima habuan politik kerana berbohong mengenai isu dana politik RM2.6 bilion," katanya.

Najib kini berdepan tiga pertuduhanmelakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dakwaan itu dan kes akan disebutkan semula 8 Ogos depan.



Share on Google Plus

About Editor

Merupakan blogger muda sejak tahun 2008. Ini merupakan blog ketiga selepas blog asal. Pernah menulis di akhbar seperti Utusan, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro & Mstar Online sekitar 2010 - 2012. Kini masih menulis...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment